Pemuda Amanah: Pemuda Pas berbohong mangsa banjir Kelantan enggan pindah

Pemuda Amanah Kelantan bertemu sendiri mangsa banjir Hafizah Awang yang masih tinggal di dalam khemah selepas dua tahun banjir besar di negeri itu

Pemuda Amanah Kelantan mendakwa Dewan Pemuda Pas Dewan berbohong mengenai seorang mangsa banjir dua tahun lalu enggan berpindah di rumah transit Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebaliknya ingin terus tinggal di dalam khemah.

Pemuda Amanah Kelantan bertemu sendiri mangsa banjir Hafizah Awang yang masih tinggal di dalam khemah selepas dua tahun banjir besar di negeri itu

Pemuda Amanah Kelantan mendakwa Dewan Pemuda Pas Dewan berbohong mengenai seorang mangsa banjir dua tahun lalu enggan berpindah di rumah transit Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebaliknya ingin terus tinggal di dalam khemah.

Ketua Pemuda Amanah Kelantan Hazmi Hassan berkata, beliau bertemu sendiri mangsa tersebut, Hafizah Hassan bagi mendengar sendiri masalah yang dihadapi baru-baru ini.

Hasil pertemuan itu, Hafizah memberitahu beliau pernah tinggal sebulan di rumah transit PLKN namun terpaksa kembali ke khemah apabila anaknya tidak selesa kerana sebuah bilik terpaksa dikongsi bersama tiga keluarga.

Oleh kerana tidak sanggup melihat anaknya tinggal bersendirian di khemah maka Hafizah memilih untuk terus tinggal di dalam khemah.

"Ibu Hafizah hanya bekerja di kantin sekolah dan tidak mampu untuk membayar sewa bulanan sekiranya beliau sekeluarga berpindah ke rumah sewa. Cadangan kami untuk membantu mencari rumah sewa disambut baik oleh ibu Hafizah.

"Saya telah berjanji dengan Ibu Hafizah akan membayar secara pukal sewa rumahnya untuk setahun. Saya meminta beliau mencari sendiri rumah sewa yang selesa untuk memudahkannya mencari rumah mengikut kesesuaian mereka sekeluarga. Kami Pemuda Amanah Kelantan akan datang sekali lagi dan membantu keluarga itu untuk berpindah," katanya.

Justeru beliau meminta Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kelantan Nazman Che Ibrahim turun sendiri bertemu mangsa banjir berbanding menuduh Pamuda Amanah menyebarkan berita palsu.

"Kepada Nazman Che Iberahim, tulisan kamu menunjukkan siapa kamu. Kamu tidak pernah jejak kaki kesini tetapi bercakap seolah-olah kamu pernah duduk berbual dengan Ibu Hafizah. Ibu Hafizah tidak kenal dan tidak pernah mendapat pertolongan dari kamu mahu pun daripada Pas," katanya.

Beliau juga mengalu-alukan sebarang sumbangan daripada orang ramai bagi meringankan beban Hafizah dan mangsa-mangsa banjir yang lain.

"Saya turut membuka peluang ini untuk kita semua bersama-sama membantu Ibu Hafizah. Kepada yang berminat boleh hubungi Pemuda Amanah Kelantan bagi meringankan bebanan beliau sekeluarga.

"Jalan untuk membaiki kesilapan masih terbuka luas. Kita lupakan soal politik dan marilah kita sama-sama bantu Ibu Hafizah. Ibu Hafizah tidak memerlukan kemenangan perbalahan dua parti. Ibu Hafizah memerlukan keperihatinan dan kepedulian kita. Inilah manusia yang tidak mempunyai pilihan," katanya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel