Amanah tubuh bilik gerakan bantuan banjir, Che Ibrahim ketua

Hazmi, Ketua Pemuda Amanah Kelantan mengharungi banjir bagi menyampaikan bantuan makanan kepada mangsa yang terperangkap.

Amanah Kelantan telah melantik Ustaz Che Ibrahim Mohamed, Naib Pengerusi 2 Amanah Kelantan sebagai Ketua Operasi Bantuan Banjir Amanah Kelantan.

Pusat bantuan banjir ini berpusat di Pejabat Amanah Kawasan Kubang Kerian (Hadapan Istana Kubang Kerian)

Pasukan petugas ini bertugas mengatur serta menjayakan semua urusan penyelarasan bantuan, makanan dan kecemasan ekoran banjir semakin teruk melanda Kelantan sekarang ini.

Pagi ini, Pemuda Amanah Kelantan mula menyampaikan bantuan awal berupa Nasi Air Dingin yang ditempah khas dari Tumpat.

Sasaran bantuan sarapan pagi tadi diagihkan di beberapa lokasi pusat penempatan mangsa banjir di kawasan Rantau Panjang yang kini terjejas teruk.

Sebanyak 600 bungkus Nasi Air Dingin yang popular sebagai sarapan pagi oleh rakyat Kelantan ini disediakan oleh Pemuda Amanah Kelantan untuk mangsa banjir di Rantau Panjang.

"Jutaan terima kasih kami ucapkan buat semua penyumbang, penderma, petugas dan sukarelawan yang bersama-sama kami dalam membantu menjayakan misi bantuan awal ini," kata Hazmi Hassan, Ketua Pemuda Amanah Kelantan.

Mereka mengalu-alukan sebarang sumbangan untuk mangsa banjir kali ini yang boleh dilakukan terus melalui akaun: 553104572310 (Maybank)- Parti Amanah Negara (amanah) Kelantan atau 20305360014354 (RHB)- Wanita Peduli.

Sementara itu, menurut satu mesej yang disebarkan oleh Hazmi Hassan, Air sudah meningkat mencecah paras dada.

"Bantuan makanan Pemuda Amanah Kelantan pagi tadi sudah habis dan masih banyak yang tidak mencukupi.

"Semalam Pemuda Amanah Kelantan sudah menggunakan bajet pemuda RM2000 (hasil kutipan makan malam) tapi masih tak mencukupi," kata Hazmi.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel