Ketika makan pagi, terfikir apa yang nak dimakan tengahari nanti

Dr Ismail Salleh (kiri sekali) bersama pemimpin DAP dan Bersatu dalam ceramah di Jerai.

Kerajaan BN yang sedang menerajui kepimpinan negeri Kedah maupun Pusat tidak peduli masalah penduduk yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Ada antara mereka, ketika makan pagi mereka terpaksa berfikir apa yang hendak di makan pada waktu tengahari dan waktu malam nanti.

Ini adalah fakta yang sedang dialami oleh penduduk sekitar Sik, Baling dan juga Padang Terap, dahwa pemimpin Amanah Kedah.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh menzahirkan demikian ketika berucap pada ceramah di Simpang Tiga Jerai, Kupang, Baling pada 6 Januari.

Turut memberikan ucapan adalah pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan DAP.

Malah katanya, sepatutnya masalah kemiskinan yang melampau sebegini rupa tidak lagi wujud setelah negara mencapai kemerdekaan dalam tempoh yang begitu lama.

"Kalau tidak percaya, boleh datang ke negeri Kedah untuk melihat betapa ramai lagi yang hidup melarat dan hidup dibawah miskin tegar.

"Ada yang terpaksa beli beras hanya satu kilo untuk menampung perut anak-anak dan isteri.

"Ini belum lagi termasuk duit saku untuk anak-anak ke sekolah, belanja dapur termasuklah sarapan pagi, makan tengahari dan juga makan malam, " jelasnya lagi.

Kegagalan kerajaan Umno dan BN memerintah dengan bijak menyebabkan rakyat yang miskin bertambah melarat.

"Penduduk yang hidup susah begitu ramai di Kedah, tapi masih lagi gagal dibela oleh kerajaan.

"Jika kerajaan benar-benar ingi membantu mengubah nasib rakyat, banyak yang boleh mereka laksanakan secara serius dan bersungguh-sungguh.

"Ramai lagi yang tidak mempunyai bekalan air dan elektrik serta kemudahan asas tidak mampu dibela oleh kerajaan negeri, " tegasnya lagi.

Beliau juga berkata, urus tadbir yang lemah, ketirisan, hutang negara yang bertimbun-timbun menyebabkan rakyat menjadi mangsa.

Sehubungan itu ujarnya, rakyat mesti bangkit dan membuat perubahan dengan segera pada pilihan raya umum ke 14 yang akan datang.

"Rakyat mesti bangun dan menolak Umno dan BN serta mana-mana parti yang bersekongkol dengan mereka.

"Tolak Najib, tolak Umno dan nyahkan BN, maka nasib rakyat akan dapat dibela .

"Jika perubahan ini tidak berlaku, yakinlah yang miskin akan terus miskin, yang papa akan tetap dibiarkan melarat kerana Umno dan BN amat mengharapkan sokongan berterusan golongan sedemikian, " tambahnya lagi.

Dalam pada itu beliau juga berkata, Amanah Negeri Kedah juga peduli terhadap musibah banjir yang telah melanda Pantai Timur khususnya negeri Kelantan yang ditadbir oleh Pas.

"Bagi fasa pertama misi bantuan kemanusiaan akan menyampaikan keperluan barangan makanan dan keperluan harian dalam masa yang terdekat.

"Atas kepedulian tersebut, Amanah Negeri Kedah turut melancarkan Tabung Bantuan Amanah bagi mangsa banjir di kesemua 15 Amanah Kawasan seluruh negeri Kedah.

"Bantuan akan dihantar dalam masa yang singkat bagi memastikan beban yang menimpa mangsa banjir tersebut dapat dibantu dengan kadar yang segera, " ujarnya lagi.

Turut hadir dalam program ceramah tersebut ialah pimpinan Parti Bersatu dan juga Pakatan Harapan Negeri Kedah dan Pulau Pinang.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: