JKM kesan wanita menyamar buta minta sedekah

Ada peminta sedekah menyamar buta dengan menjual tisu kepada orang ramai

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor sedang mengesan seorang wanita yang dikatakan menyamar sebagai orang cacat penglihatan dan meminta sedekah dengan menjual tisu di sekitar bandar raya ini.

Pemangku Pengarah JKM Johor, Datuk Daud Arbah berkata pihaknya berusaha menjejaki wanita terbabit selepas kisah dan gambarnya menjadi viral di beberapa Facebook sejak minggu lepas.

"JKM Johor mempunyai pasukan 'cyber trooper' dan bahagian penguatkuasaan yang sudah digerakkan untuk menjalankan siasatan sekali gus bagi mengesan wanita terbabit," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata usaha mengesan wanita tersebut dilakukan di beberapa lokasi tumpuan ramai termasuk Dataran Bandaraya.

Berhubung kad pengenalan diri yang dipakai wanita berkenaan, beliau berkata ia tidak dikeluarkan oleh JKM.

Daud berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan wanita itu supaya menghubungi talian 07-2282971/972 bagi membantu siasatan.

Wanita tersebut didakwa tidak cacat penglihatan dan dia didalangi ejen untuk meminta sedekah.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel