• Kolumnis AMANAH 1Kolumnis AMANAH 1

Duit haram tak jadi halal walaupun guna untuk ibadat, kata Tun M

Tun Dr Mahathir MohamadTun Dr Mahathir Mohamad

Duit yang dicuri adalah haram dan tidak boleh dihalalkan dengan menggunakannya untuk ibadat, tegas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, sama juga seperti makanan yang haram, tidak akan menjadi halal kerana dihidang selepas baca doa selamat atau bertahlil.

"Kita semua maklum bahawa jika kita termakan makanan yang haram bagi orang Islam (daging babi umpamanya) maka kita tidak bersalah. Tetapi jika kita tahu makanan yang dihidang itu haram, kita makan juga, maka perbuatan kita itu salah disisi agama.

"Demikian juga apabila kita tahu duit itu dicuri, tetapi kita terima duit itu untuk apa juga tujuan, maka perbuatan itu tentulah salah. Jika salah untuk perbuatan lain, tentulah salah juga untuk membiayai ibadat," katanya menerusi posting terbarunya di blog Chedet.cc hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menegaskan pendirian beliau bahawa individu yang mengerjakan haji menggunakan duit 1Malaysia Deve­lopment Berhad (1MDB) tidak mendapat haji yang mabrur.

Pendirian Mahathir itu disanggah Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman dan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad yang berkata hanya Allah yang berhak menentukan status haji seseorang.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata hanya mereka yang bertujuan membodek orang tertentu sahaja yang akan menghalalkan wang yang dicuri oleh kerajaan.

"Kalau menyatakan wang dicuri tidak boleh biayai ibadat haji adalah percubaan menjadi Tuhan, kenyataan itu menunjuk kekerdilan akal fikiran. Pangkat tidak boleh membetulkan pendapat yang salah. Pencuri berpangkat masih pencuri.

"Apakah hanya dengan dihalalkan oleh orang yang bergelar mufti, maka yang haram itu menjadi halal?

"Kalau nak terima duit curi untuk buat kerja haji, terimalah.

"Saya tak akan terima walau apa pun tohmah dilempar kepada saya," katanya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel