Faiz Subri ucap terima kasih kepada rakyat Malaysia

Fais Subri menerima anugerah Puskas FIFA 2016 dari Ronaldo

Pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016, Mohd Faiz Subri melahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan kejayaan yang diraihnya di Zurich, Switzerland pada Selasa.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada peminat bola sepak di seluruh dunia yang mengundi jaringannya untuk merangkul anugerah yang mengiktiraf jaringan tercantik bagi 2016.

"Perasaan saya memang cukup berbangga, ada perasaan gementar sebentar tadi," katanya ketika ditemu bual FIFATV selepas menerima anugerah itu daripada legenda bola sepak Brazil, Ronaldo.

Mohd Faiz bercakap dalam Bahasa Malaysia sewaktu ditemu ramah dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Afandi Hamzah bertindak sebagai jurubahasa secara spontan.

Penyerang Pulau Pinang itu memberitahu FIFATV, anugerah berkenaan adalah rezeki untuk dirinya serta keluarga.

Mohd Faiz merupakan 'arkitek' dan jaringannya disifatkan 'melanggar hukum fizik' ketika membantu Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, pada 16 Februari tahun lepas.

Pemain Liga Super itu mengetepikan dua lagi finalis, Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez untuk meraih anugerah yang julung kali dimenangi pemain Portugal, Cristiano Ronaldo pada 2009.

Ditanya FIFATV mengenai jaringan tersebut, anak jati Ayer Hitam, Kedah itu menyifatkan ia gol paling menarik pernah dijaringkan sepanjang bergelar pemain bola sepak profesional.

"Bagi saya, ia hasil titik peluh saya sewaktu latihan," katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa depannya, Mohd Faiz tidak menolak kemungkinan beraksi di benua Eropah jika diberi peluang, namun mengakui masih terikat kontrak setahun dengan Pulau Pinang.

Kejayaan itu menyaksikan Mohd Faiz mencipta sejarah sebagai pemain Asia pertama dikurniakan anugerah itu yang dinamakan sempena legenda bola sepak Hungary, Ferenc Puskas, yang menikmati kejayaan hebat bersama pasukan Real Madrid pada 1950-an dan 60-an serta bersama pasukan kebangsaan negara beliau.

Mohd Faiz meraih 59.46 peratus undian, manakala Marlone (22.86 peratus) dan Rodriguez (10.01 peratus).

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel