MP Amanah pertimbang saman Mynewshub jika tak minta maaf artikel fitnah

 

Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin menjawab fitnah terhadapnya oleh sebuah portal berita pro Umno pada sidang media di Wisma Amanah Negara hari iniAhli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin menjawab fitnah terhadapnya oleh sebuah portal berita pro Umno pada sidang media di Wisma Amanah Negara hari ini

Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah sedang mempertimbang tindakan undang-undang terhadap pemilik portal pro-Umno, Mynewshub yang menyiarkan artikel yang didakwa memfitnah beliau.

Beliau berkata, artikel bertajuk 'Wakil Rakyat PAN cuti mewah di UK Abai Mangsa Bah' bertarikh 7 Januari itu menuduhnya tidak mempedulikan nasib dan 'kelibat tidak kelihatan' semasa 'ribuan rakyat' dilanda banjir di kawasan Parlimen Kuala Terengganu.

"Artikel tersebut berniat jahat dengan memberi gambaran saya bercuti 'mewah' serta 'leka bersantai di Kota Raya London' semasa bah melanda Kuala Terengganu," katanya pada sidang media di Wisma Amanah Negara di ibu negara hari ini.

Artikel tersebut turut menyertai gambar menunjukkan Raja Bahrin bercuti dengan keluarganya di London.

Menurut Raja Bahrin, wartawan Mynewshub tidak pernah menghubungi beliau untuk mengesahkan berita dan gambar tersebut.

Beliau menjelaskan, gambar beliau sekeluarga adalah pada bulan Oktober tahun lalu sewaktu program Amanah berjumpa pelajar di beberapa kota Di United Kingdom bersama beberapa pimpinan Amanah lain.

"Mereka juga tidak memberi definisi apakah yang dimaksudkan dengan cuti mewah kerana saya menaiki pesawat komersial seperti rakyat biasa.

"Istilah leka dan mewah tidak tepat apabila saya berpindah kota setiap beberapa hari menaiki keretapi awam dan bukan jet mewah," katanya.

Turut bersama pada sidang media tersebut ialah Pengerusi Biro Undang-undang Amanah (Kanun) Hanipa Maidin dan Naib Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin yang turut serta dalam program Amanah bersama pelajar di London Oktober lalu.

Raja Bahrin menambah, artikel itu jelas memfitnah kerana beliau turun padang memberi bantuan persekolah kepada pelajar miskin dan turun memberi bantuan kepada mangsa banjir pada Disember lalu.

Raja Bahrin turut menunjukkan gambar-gambar membuktikan beliau berada di Kuala Terengganu pada Disember lalu.Raja Bahrin turut menunjukkan gambar gambar yang membuktikan beliau turun padang sewaktu banjir di Kuala Terengganu tahun laluRaja Bahrin turut menunjukkan gambar gambar yang membuktikan beliau turun padang sewaktu banjir di Kuala Terengganu tahun lalu

Beliau yakin fitnah itu dibuat kerana marah dengan kritikan beliau terhadap perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang bercuti bersama keluarga di luar negara ketika rakyat sedang bergelut dengan kesusahan.

"Melihat kepada portal ini, saya yakin portal ini penyokong tegar Datuk Seri Najib dan marah kerana saya mengkitik perdana menteri. Pihaknya tidak membaca secara keseluruhan kritikan saya," katanya yang juga Ketua Biro Antarabangsa Amanah.

Sementara itu, Hanipa berkata beliau akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam masa terdekat dan memikirkan tindakan undang-undang selanjutnya.

Menurut beliau walaupun Mynewshub telah menarik balik artikel tersebut namun pihaknya perlu membuat permohonan maaf kerana artikel tersebut masih boleh didapati di internet dan boleh menimbulkan salah faham orang ramai.

"Saya dah periksa memang Mynewshub telah tarik balik artiker tersebut namun ia tetap boleh dibaca. Jadi saya bagi pihak anak guam saya menunggu permohonan maaf daripada mereka. 

"Selepas itu baru akan bincang tindakan selanjutnya. Kita pergi secara berperingkat," katanya yang juga ahli Parlimen Sepang.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel