Dahulukan bahasa milik negara walau di pentas dunia, seru Gapena

Faiz Subri berucap dalam bahsa Inggeris ketika menerima anugerah Puskas 216Faiz Subri berucap dalam bahsa Inggeris ketika menerima anugerah Puskas 216

Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) menyeru pengurusan sukan di Malaysia memastikan ahli sukan tanah air mengutamakan bahasa Melayu sebagai bahasa lambang negara ketika berada di majlis anugerah antarabangsa.

Datuk Zainal Abidin BorhanDatuk Zainal Abidin BorhanKetua Satu Gapena, Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, iltizam budaya itu perlu bersesuaian dengan taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa penyatu rakyat berbilang kaum di negara ini.

"Amat mengharapkan begitu. Di mana jua kita berada, bahasa Melayu mesti didahulukan tetapi tidak ramai yang memiliki kesedaran mengutamakan dan mendahulukan bahasa kebangsaannya sendiri," ujar beliau ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Mengulas lanjut tindakan penyerang Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri yang berucap dalam bahasa Inggeris tetapi sukar difahami ketika menerima Anugerah Puskas 2016, malam tadi, beliau turut mengingatkan usaha memartabatkan bahasa Melayu bukan terhad dalam kalangan pimpinan sukan sahaja.

"Malah pimpinan politik dan birokrasi harus ada kesedaran. Kalau bukan kita siapa lagi mahu memperdengar apa lagi memperluas penggunaan bahasa Melayu di pentas dunia.

"Nasionalisme Malaysia atau patriotisme Malaysia sepatutnya mendahulukan bahasa Melayu sebagai bahasa negara," tegas Zainal lagi yang juga merupakan bekas Pengarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM).

Sementara itu, media arus perdana di negara ini mendakwa Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) hanya membenarkan empat bahasa sahaja digunakan dalam majlis anugerah berprestij itu.

Walau bagaimanapun, carian Malaysia Dateline bersama beberapa budayawan tidak menemui pautan sebarang berita atau artikel berkaitan "syarat" empat bahasa berkenaan sekaligus "larangan" untuk bahasa Melayu digunakan.

Sebaliknya, semakan mendapati penerima kategori sama pada 2010, Hamit Altıntop tidak menggunakan bahasa Inggeris dalam ucapannya.

Rujukan silang menunjukkan bahasa Turki hanya menduduki tangga ke-22 dalam senarai 100 bahasa paling ramai penutur di dunia mengikut etnik setakat tahun 2007.

Hal ini berbeza dengan bahasa Melayu di wilayah alam Melayu yang berada di kedudukan kelima penutur paling ramai di dunia seperti pernah diakui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

Semakan seterusnya mendapati penerima Anugerah Puskas dari Slovakia pada 2012 dan Sweden setahun selepas itu bagaimanapun berucap dalam bahasa Inggeris.

Sekali lagi dengan membandingkan senarai 100 bahasa paling ramai penutur mengikut etnik itu, bahasa Slovakia sama sekali tidak termasuk dalam kumpulan tersebut manakala Swedish hanya berada di tangga ke-91 dalam senarai tersebut.

Semakan seterusnya dalam rakaman video yang dimuat naik pihak FIFA mendapati Faiz terpaksa mengambil masa sehingga 25 saat untuk mencari teks ucapan dalam bahasa Inggeris di telefon bimbitnya.

Sehubungan itu, tindakan Faiz yang tidak menggunakan bahasa Melayu selain "janji" beliau sebelum ini untuk mengenakan sepersalinan lengkap baju Melayu dan bertanjak tidak terlaksana sehingga menimbulkan pertikaian ramai penguna di media sosial.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel