Orang Asli Ledang desak hentikan pencerobohan

Orang Asli Gunung Ledang ke Mahkamah Tinggi Johor Bahru saman Perbadanan Taman Negara Zila Maju Enterprise kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Malaysia

Jawatankuasa Bertindak Kampung Orang Asli Ledang mendesak supaya semua aktiviti pencerobohan di kawasan mereka dihentikan serta-merta.

Orang Asli Gunung Ledang ke Mahkamah Tinggi Johor Bahru saman Perbadanan Taman Negara Zila Maju Enterprise kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Malaysia

Jawatankuasa Bertindak Kampung Orang Asli Ledang mendesak supaya semua aktiviti pencerobohan di kawasan mereka dihentikan serta-merta.

Tindakan tersebut termasuk meruntuhkan semula pagar yang dibina dan mengambus semula semua tanah yang dikorek serta pada masa sama memastikan tiada lagi jentera berat beroperasi di tiga perkampungan komuniti berkenaan.

"Pihak Orang Asli mendesak dengan injuksi ini agar pencabulan hak dan pencerobohan Tanah Adat Orang Asli dihentikan serta merta. Laporan polis pertama dibuat pada 27 Disember 2016, no report tangkak/007688/16.

Lawatan dari pihak polis dibuat pada 3 Januari lalu," dipetik daripada kenyataan jawatankuasa tersebut. Kenyataan media yang disokong lima organisasi itu antaranya Parti Sosialis Malaysia (Johor) dan Pemuda Amanah negeri berkenaan memaklumkan pihak kontraktor membawa masuk jentera berat ke perkampungan terbabit pada 14 November tahun lalu.

Walau bagaimanapun, pihak Orang Asli sebanyak empat kali berjaya menghentikan kerja-kerja kontraktor. Tiga kampung terlibat dalam pelaksanaan projek berkenaan iaitu Kampung Sungai Air Tawas, Kampung Tanah Gembur dan Kampung Sungai Mering.

"Pihak Perbadanan Taman Negara Johor telah memulakan projek membina pagar, mengorek longkang di atas tanah adat Orang Asli dan merosakkan tanaman, mengancam kubur nenek moyang, menghalang kebebasan turun-temurun hutan rayau kami.

"Hari ini (10 Januari) kami Orang Asli Ledang berkumpul dan mengadakan sidang media di sini bertujuan memberitahu bahawa ini adalah hak kami dan pencabulan hak sedang berlaku. Orang Asli ditindas sejak sekian lama tanpa tanpa melawan dan hanya akur," ujar mereka semalam.

Kumpulan Orang Asli terbabit mendakwa kontraktor Zila Maju Enterprise melakukan kerja berkaitan pada 30 November tahun lalu tanpa mengeluarkan surat atau papan pemberitahuan projek kepada penduduk tempatan.

"Hal ini berkemungkinan tiada kebenaran merancang dari Majlis Daerah Tangkak. Pihak kontraktor dengan sewenang-wenangnya merosakkan tanaman dan dalam masa yang sama mencuri hasil hutan.

"Pembinaan pagar ini umpama menghalang perhubungan kami dengan kawasan hutan rayau dan tanah adat kami yang mempunyai puluhan kubur nenek moyang kami.

"Pengorekan yang berlaku hingga setakat ini hanya beberapa meter sahaja dari kubur nenek moyang kami. Pembinaan pagar pula menyekat kebebasan Orang Asli dan juga mengancam habitat semulajadi haiwan," dipetik daripada kenyataan itu lagi yang turut disokong pensyarah Dr Maszlee Malik.

Minggu lalu, Pemuda Amanah Negeri Johor menuntut penjelasan daripada Perbadanan Taman Negara Johor berhubung pemasangan pagar di sekeliling tiga perkampungan Orang Asli terbabit serta pembinaan parit sempadan sepanjang 4 kilometer.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel