Adenan wakil rakyat banyak menabur bakti, kata Majlis Presiden Pakatan Harapan

Majlis Presiden Pakatan Harapan merakamkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia tengah hari tadi di Kuching, Sarawak.

Dalam satu kenyataan bersama Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismal; Setiausaga Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohd Sabu berkata Allahyarham banyak menabur bakti kepada rakyat Sarawa sejak menjadi wakil rakyat pada 1979.

"Sebagai seorang Ketua Menteri dan ahli politik, Allahyarham banyak menabur bakti kepada rakyat Sarawak sejak menjadi wakil rakyat pada 1979.

"Beliau merupakan seorang tokoh federalisme yang mengangkat semangat Perjanjian Malaysia 1963, serta berjuang untuk hak rakyat Sarawak termasuk otonomi fiskal melibatkan peningkatan royalti minyak 20 peratus.

"Malah kami berpendapat pandangan beliau mengenai Sarawak dan Sabah sering selari dengan Pakatan Harapan," ujar kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut hari ini Malaysia kehilangan seorang pemimpin yang meletakkan kepentingan rakyat di atas kepentingan peribadi.

"Semoga Allah SWT mengampun segala dosa Allahyarham dan menempatkan roh beliau di kalangan orang-orang beriman."

Jenazah Allahyarham Tan Sri Adenan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Samariang, esok selepas solat zohor, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg.

Katanya jenazah Allahyarham akan dibawa dari kediaman peribadinya di Santubong ke Masjid Jamek Sarawak, Petra Jaya pada pukul 10 pagi di mana upacara penghormatan terakhir akan bermula 10.30 pagi hingga 1 tengah hari.

"Orang ramai yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir dinasihatkan berpakaian gelap," katanya pada sidang media  hari ini.

Sidang media itu turut dihadiri seorang lagi Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Abang Johari berkata esok juga diumumkan sebagai hari kelepasan am bagi negeri ini dan tempoh berkabung selama tujuh hari dengan bendera negeri dikibarkan separuh tiang.

Allahyarham meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada kira-kira 1.20 tengah hari di Pusat Jantung Kota Samarahan.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel