NUNJI 2017 akan lancar buku Pelaksanaan Hudud dalam Bingkai Fiqh Awlawiyat

NUNJI 2017

Nadwah Ulamak Nahdhah Jadidah (NUNJI) 2017 akan melancarkan tiga buah buku kecil terbitannya sendiri pada 5 Februari ini di Kompleks Belia Selangor, Seksyen 7, Shah Alam.

NUNJI 2017

Nadwah Ulamak Nahdhah Jadidah (NUNJI) 2017 akan melancarkan tiga buah buku kecil terbitannya sendiri pada 5 Februari ini di Kompleks Belia Selangor, Seksyen 7, Shah Alam.

Tiga buku tersebut iaitu Islam dan Demokrasi, Fiqh Muwothonah dan Pelaksanaan Hudud dalam Bingkai Fiqh Awlawiyat akan dirasmikan oleh Penasihat Umum Parti Amanah Negara (Amanah), Ustaz Ahmad Awang.

Selain tiga buku, prosiding NUNJI 2015 akan turut dilancarkan.

NUNJI 2017 bertemakan Maqasid Syariah Teras Negara Bangsa yang akan melontarkan secara spesifik peranan Maqasid untuk membina dasar dalam pembentukan negara bangsa merupakan kali kedua diadakan selepas dilancarkan pada tahun 2015.

Ia merupakan platform untuk membekalkan kefahaman Islam dan kenegaraan bersandarkan kepada Maqasid Syariah atau objektif besar Syariah.

Kejayaan NUNJI adalah dapat melontarkan idea-idea baharu tentang peranan Islam dalam kerangka kepelbagaian dan mencadangkan kepada orang ramai bagaimana keadilan, kebebasan dan kesaksamaan dapat diterjemahkan dalam konteks politik Malaysia.

Menurut Pengerusi NUNJI, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, sebagai melaksanakan salah satu resolusi NUNJI 2015 yang lalu, NUNJI kali ini turut melontarkan pengenalan awal kepada Fiqh Siyasi Malaysia yang akan dibentangkan oleh beliau sendiri.

"NUNJI akan terus menjadi wahana mencerdas minda ahli Amanah khususnya dan masyarakat umumnya melalui penglibatan semua pihak dalam bidang kepakaran mereka. NUNJI juga terbuka untuk orang awam yang berminat," katanya yang juga Naib Presiden Amanah dalam kenyataan hari ini.

NUNJI 2017 turut mendatangkan khas tokoh ilmuwan Islam yang terkenal dengan pandangan progresif tentang kerangka negara moden dan bagaimana peranan Syariah Islam di dalamnya iaitu Dr Jasser Audah dari Kanada.

Beliau akan melontarkan idea "Negara Madani dan Referensi Islam Sebagai Prinsip".

Turut ditampilkan ialah Presiden Darul Hikmah Prof Datuk Dr Sidiq Fadhil yang juga Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE) Selangor yang akan menyinggung isu Negara Bangsa dan bagaimana peranan Maqasid Syariah membentuknya.

Selain itu tokoh ulamak muda Ustaz Wanji Wan Hussin dari Sekolah Pemikiran As-Syatibi akan menyumbangkan satu tajuk tentang "Disiplin Maqasid Syariah".

Manakala majlis penutup NUNJI 2017 akan disempurnakan oleh Presiden Amanah Mohamad Sabu.

 

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel