Amanah minta PAS jangan sibuk salahkan orang lain

Parti Amanah Negara (Amanah) menolak tanggapan PAS bahawa penubuhan Pakatan Harapan bakal menjadi punca perpecahan parti-parti pembangkang di negara sambil mengajak parti Islam itu memberikan fokus kepada agenda besar.

Salahudin Ayub meminta semua pihak memberikan fokus kepada agenda besar bukan salah menyalah antara mereka.Parti Amanah Negara (Amanah) menolak tanggapan PAS bahawa penubuhan Pakatan Harapan bakal menjadi punca perpecahan parti-parti pembangkang di negara sambil mengajak parti Islam itu memberikan fokus kepada agenda besar.

Timbalan presidennya, Salahudin Ayub berkata, semua parti-parti pembangkang tidak terkecuali Amanah hendaklah sentiasa melakukan koreksi diri dan fokus kepada agenda besar yang menjadi harapan rakyat sekarang ini.

"Ini adalah keperluan yang mendesak ketika ini daripada sibuk menuding jari kononnya orang lainlah yang membawa angkara perpecahan dan masalah kepada parti sendiri," kata Salahudin dipercayai mengulas dakwaan timbalan presiden PAS bahawa PKR akan pecah selepas PAS berpecah.

"Menyalahkan penubuhan Pakatan Harapan sebagai punca pergolakan dan perpecahan tanpa melakukan muhasabah dan penambaikan serta nilai tambah, adalah merupakan sikap yang terbelakang yang jauh sekali gagal untuk memimpin perubahan masa yang semakin kritikal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi beliau, Amanah berpandangan pintu rundingan dan meja perbincangan sentiasa terbuka luas kepada semua parti-parti pembangkang di negara ini untuk berbincang tentang kepentingan rakyat dan negara.

"Amanah sebagai pemain baharu dipersada politik tanah air akan sentiasa melakukan koreksi diri untuk memperkukuhkan peranan kami dalam Pakatan Harapan.

"Janganlah kita leka menyalahkan orang lain dan tidak mekakukan apa-apa sumbangan untuk sama-sama melaksanakan agenda besar Pakatan Harapan yang menjadi aspirasi rakyat ini," katanya.

Semalam Tuan Ibrahim dalam kenyataannya meramalkan PKR akan pecah juga selepas PAS berpecah dua kepada Amanah sebelum ini. PKR akan berpecah ekoran penubuhan Pakatan Harapan, kata Tuan Ibrahim.

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata, apa yang berlaku dalam PKR adalah perbezaan pandangan mengenai cara dan masa penubuhan Pakatan Harapan bukannya berpecah lagi.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: