• Kolumnis AMANAH 1Kolumnis AMANAH 1

Himpunan RUU355 perlu disokong - MT Umno

Pas menyerahkan baju H355 kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom Pas menyerahkan baju H355 kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom

Umno dijangka membincangkan penyertaan mereka dalam Himpunan Mega mengenai pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355.

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa berkata perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada 27 Januari ini, sekiranya parti itu mendapat jemputan rasmi daripada Pas.

"Kalau ada jemputan atau sekiranya mereka (pucuk pimpinan parti) sudah menerima jemputan, saya pasti Setiausaha Agung (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) akan membawa perkara ini dalam mesyuarat.

"Mesyuarat Umno masih awal daripada tarikh yang dicadangkan Pas untuk mengadakan himpunan itu di Dataran Merdeka pada 18 Februari depan, jadi kita lihat dulu bagaimana," katanya selepas melawat Pusat Pembelajaran Permai di Ampang.

Annuar berkata beliau berpendapat, himpunan itu perlu dilakukan dan mendapat kerjasama semua pihak sekiranya ia melibatkan usaha dalam memberi penjelasan berhubung RUU 355.

"Secara peribadi, saya berpendapat, apa sahaja usaha untuk memberi penjelasan dan penerangan harus dialu-alukan kerana pihak yang membawa RUU persendirian ini berhak memberi penjelasan.

"Kita tidak harus prejudis dan melayan perkara ini secara emosi kerana Pas bertanggungjawab, malah seharusnya memberi penjelasan kepada bukan sahaja umat Islam tetapi orang bukan Islam," kata Annuar.

Ditanya mengenai ketegasan MCA membantah rancangan Pas untuk menganjurkan himpunan tersebut, Annuar berkata parti komponen Barisan Nasional (BN) itu berhak menyuarakan pendapat.

Beliau berkata semua pemimpin Barisan Nasional (BN) perlu duduk secara bersama bagi mendengar suara semua parti komponen berhubung pelaksanaan RUU 355.

Pada 24 November lepas, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa usul Rang Undang-Undang Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel