Jutaan umat Islam bangkit jika DAP saman Pas - Nasruddin

Lim Kit Siang bercadang mengambil tindakan undang-undnag terhadap Abdul Hadi

Ketua Penerangan Pas Nasrudin Hassan yakin jutaan umat Islam termasuk dalam kalangan masyarakat bukan Islam yang menghormati agama itu akan bangkit membela presiden parti Islam itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang jika DAP menyamannya.

"InsyaAllah, jika DAP saman presiden Pas maka ratusan ribu malah jutaan umat Islam termasuk bukan Islam yang menghormati Islam akan bangkit menjadi 'peguam bela' pemimpin gerakan Islam itu.

"Saya mempunyai bukti kenyataan dan sikap kepimpinan DAP yang mempersendakan hukum agama Islam dan sekaligus mempamerkan semangat anti-Islam mereka kepada umum," kata Nasrudin, memetik Malaysiakini.

Semalam penasihat DAP Lim Kit Siang bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Abdul Hadi kerana didakwa memfitnahnya sebagai seorang yang anti-Islam.

Anggota Parlimen Gelang Patah itu berkata beliau telah meminta peguamnya meneliti perkara itu.

Hadi, terdahulu, dilapor menolak sebarang kemungkinan bekerjasama dengan DAP.

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata, beliau menamakan rancangan dan strategi DAP sebagai 'strategi serba tak menjadi' yang diadakan untuk hancurkan Pas.

"Mereka mahu pecah-belahkan Pas dan mereka mahu Pas menjadi parti yang lemah dan tidak lagi menjadi saingan mereka di pentas politik tanahair.

"Kelmarin dulu dia putuskan hubungan dengan presiden Pas, kelmarin dia hulurkan salam perdamaian kepada Presiden PAS dan hari ini bertekad untuk saman Presiden PAS.

"Esok entah apa pula pelan dan strategi pemimpin DAP itu," katanya.

Justeru, kata beliau, jika DAP mahu sekali lagi melemahkan presiden Pas dan parti yang dipimpin oleh beliau dengan strategi saman, maka sekali lagi strategi mereka pasti tidak akan menjadi.

"Sebaliknya mereka akan terus "kempunan" untuk melampiaskan cita-cita busuk mereka.

"Malah mereka akan menyaksikan saf kepimpinan dan ahli PAS kian utuh menggalas cita-cita perjuangan Islam bersama presidennya. Keutuhan saf perjuangan PAS diikat dengan prinsip Islam yang diperjuangkan," tambah beliau.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel