Sebuah badan, suruhanjaya harus terajui wacana TN50

Datuk Seri Mohd Najib Razak ketika mengadakan Sesi Dialog Perdana Tranformasi Nasional (TN50) di Universiti Malaya pada Januari lalu.

Wacana nasional ke arah membentuk Transformasi Nasional 2050 (TN50) harus diterajui oleh sebuah badan atau suruhanjaya bebas, kata Presiden Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Tunku Zain al-Abidin Tuanku Muhriz.

Beliau berkata kerajaan tidak harus membenarkan TN50 dilihat sebagai agenda berpuak-puak tetapi sebagai agenda nasional yang merentasi bangsa, agama dan yang penting jurang politik.

"Ia mungkin memberi lebih keyakinan jika proses itu tidak diketuai oleh entiti berkaitan kerajaan," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-7 Ideas yang juga sempena memperingati Hari Jadi Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj ke-114 di sini, hari ini.

TN50, yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ialah dasar futuristik untuk mencorakkan hala tuju negara dalam tempoh 30 tahun akan datang selepas 2020.

Tunku Zain berkata walaupun ia penting untuk mengumpul input dan cadangan daripada generasi muda untuk membentuk TN50, ia juga harus bersifat inklusif.

Beliau berkata semangat muda mesti digemblengkan dengan pengalaman dan kebijaksanaan daripada mereka yang telah menghadapi cabaran kehidupan sebenar.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: