'Husam kuasa 10' kini menjadi realiti, digeruni

Pas mengiktiraf "Husam kuasa 10' melalui ceramah meganya yang ditujukan kepada Husam Musa.Pas mengiktiraf "Husam kuasa 10' melalui ceramah meganya yang ditujukan kepada Husam Musa.

Kira-kira lima bulan lalu, Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah mengisytiharkan bahawa "Datuk Husam ni, 10 wakil rakyat lain, baru sama dengan dia seorang" dan kini pelbagai pihak mengesahkan perkara itu hatta oleh Pas sendiri.

Perisytiharan yang dibuat oleh Wan Rahim ketika itu dianggap sebagai cuba mencari alasan ekoran kegagalan beliau membuktikan cabarannya bahawa, "jika Husam dipecat dari Pas, 10 wakil rakyat yang lain akan menurut beliau."

Kerana dianggap mencari alasan itu, aktivis Pas mempermainkan Husam dan Wan Rahim dengan memberikan nama "Husam kuasa 10" kepada penasihat Amanah Kelantan itu bagi memperlekehkan beliau.

Namun selepas tidak sampai setengah tahun, Pas sendiri seolah-olah mengakui bahawa kenyataan Wan Rahim itu adalah realiti bukan lagi fantasi atau setakat mencari alasan.

20 Februari ini, Pas melalui Dewan Pemuda Pas Kelantan menganjurkan ceramah mega di perkarangan Stadium Sultan Mohamad ke 1V dan tajuk ceramah mega itu adalah "Husam lari dari debat baiah".

Bagi penulis Mohd Sayuti Omar, dengan memilih Husam sebagai subjek ceramah, tampak sangat kedangkalan otak mereka yang ada dalam Pas Kelantan hari ini.

"Apakah parti berkenaan sudah ketiadaan psikologis atau penggerak perang saraf lagi," tanya beliau.

"Tajuk itu secara tak langsung meletakkan Husam seorang tokoh besar, sama hebat dengan Asri, atau Mat Nasir, atau Tengku Razaleigh, hatta Nik Aziz sendiri yang menjadi fokus lawan-lawan mereka di Kelantan sebelum ini. Husam tentu berterima kasih kerana tema itu memberi publisiti murah kepadanya," tulis Sayuti dalam facebook beliau malam tadi.

Bahkan, Sayuti menulis dengan penuh hinaan apabila berkata, "Maaf hari Jumaat ini, tema ceramah meletakkan Husam sebagai tajuk itu lebih kurang sama sahaja dengan projek menyapu tahi kucing yang dilancar oleh Ketua Muslimat Pas Kelantan."

Komen dalam FB Mohd Sayuti Omar, "Nampak macam betul teori Husam kuasa 10".Komen dalam FB Mohd Sayuti Omar, "Nampak macam betul teori Husam kuasa 10".Seorang pengulas kepada tulisan itu mengimbau kembali apa yang dinyatakan Wan Rahim pada pertengahan September lalu.

"Sah Husam kuasa 10," tulis Mohd Ramizi dengan menyifatkan Pas kini sudah kucar kacir.

"Sebesar-besar parti Pas yang memerintah sebuah negeri kena tumpu segala hulubalang melawan Husam seorang. Inikah politik Islam yang dibawa Pas," kata beliau dalam ulasan itu.

Husam dipecat melalui satu keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Disiplin Pas yang dipengerusikan oleh Dr Sanusi Daeng Mariok dan berkuat kuasa mulai 23 April 2016.

Selepas mengalami tempoh bertenang selama empat bulan, Husam mengisytiharkan penyertaannya ke dalam Amanah pada malam 31 Ogos 2016 iaitu menjelang negara menyambut ulang tahun kemerdekaannya.

Ia dibuat dalam satu majlis di Cyberjaya, bandar kembar kepada pusat pentadbiran negara, Putrajaya.

Dalam majlis itu, Husam memohon kepada Allah dan rakyat Kelantan agar memberikan kebenaran kepada Amanah untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Kelantan dari Pas agar ia tidak jatuh ke tangan Umno.

Dua minggu selepas itulah, dalam satu majlis di Wisma Tok Guru yang menjadi pusat aktiviti Amanah Kelantan dan Husam sendiri, Wan Rahim mengiytiharkan 'Husam kuasa 10' itu.

Sejak itu, Husam memberikan segala tumpuannya untuk mengambil alih Kelantan dari tangan Pas.

Ketika Amanah pusat sedia untuk bekerjasama dengan Pas bagi membolehkan pertandingan dua penjuru antara pembangkang dengan BN berlaku, Husam mahu Amanah Kelantan diberikan kuasa otonomi.

Otonomi itu adalah Amanah Kelantan diberikan hak untuk bertanding tiga penjuru melawan Pas dan BN di Kelantan.

Segala persiapan dibuat dan segala jentera digerakkan oleh beliau dan Amanah Kelantan untuk merealisasikan usaha mengambilalih kerajaan negeri Kelantan dari Pas itu.

Kini, Pas sendiri merasakan peritnya dan segala serangan kini ditujukan kepada Husam yang dilebelkan oleh mereka sendiri sebagai berkuasa 10 itu.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel