• Kolumnis AMANAH 1Kolumnis AMANAH 1

Umat Islam keliru bila agama jadi taruhan politik, tegas mufti Perlis

Dr Asri Zainal AbidinDr Asri Zainal Abidin

"Hari ini anda sesatkan orang yang enggan menyokong usul anda, esok mungkin anda jadikan dia jadi wali Allah pula apabila 'angin politik' anda berubah?!" sindir Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin.

Dalam satu tulisan berterus terang yang diterbitkan semalam, Dr Asri mahu pemimpin parti politik tertentu agar bermuhasabah diri bagi menyedari siapakah sebenarnya yang mengelirukan umat Islam dengan pendirian yang sering berubah-ubah.

Apa yang dikesalkan beliau, perubahan pendirian parti tersebut membabitkan pegangan akidah umat Islam.

Tulisan beliau itu dipercayai merujuk kepada kritikan Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas Pusat Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang mendakwa pandangan Dr Asri tentang hukum jenayah syariah sebagai mengelirukan.   

"Pemimpin parti politik tertentu sensitif apabila saya menyebut bahawa jangan fikir keindahan Islam itu hanyalah apabila dipotong tangan pencuri, direjam dengan batu penzina, dipancung orang yang dituduh murtad.

"Semua hukuman itu memerlukan suasana, syarat dan ijtihad yang lebih luas. Nabi s.a.w dalam sirah baginda mendahului kebaikan rakyat sebelum hukuman.

"Jangan hanya nanti sibuk hendak memotong tangan pencuri basikal tetapi membisu apabila orang yang mencuri berjuta-juta harta awam," tegas beliau.

Menurut Dr Asri, keindahan Islam lahir dari keindahan akhlak, kebajikan rakyat, urus tadbir yang baik, menjaga kebersihan, menjaga alam sekitar, menjaga hak rakyat, hak kanak-kanak, hak wanita dan sebagainya.

Tambah beliau, nas-nas agama dalam hal-hal itu jauh lebih banyak dan diutamakan dibandingkan sebahagian hukum yang cuba dibawa oleh pemimpin parti tertentu.

Beliau turut memberi contoh bagaimana negara-negara maju yang tidak menjalankan undang-undang jenayah Islam menjadi pilihan para pelarian daripada negara Islam.

Negara-negera tersebut, ujarnya menjadi pilihan pelarian negara Islam kerana  menjalankan urus tadbir yang baik, alam sekitar yang indah kerana tidak 'menebang balak' sesuka hati, para pemimpin yag bersikap amanah dan menjaga kebajikan rakyat.

Sambil menyifatkan pandangan beliau itu bukanlah baru, Dr Asri dukacita kerana di dalam dunia Islam, terdapat golongan yang tidak dapat melihat Islam melainkan  isu hudud.

"Seakan-akan itulah yang hendak ditonjolkan oleh Nabi s.a.w. Mereka ini sebenarnya menjadikan dunia membenarkan dakwaan (Presiden Amerika Syarikat) Donald Trump.

"Kata pemimpin tertentu parti berkenaan pandangan saya itu mengelirukan dan ada unsur liberal.

"Saya ingin beritahu beliau, sebenarnya yang mengelirukan itu ialah apabila agama dipolitikkan. Ataupun akidah umat dijadikan taruhan politik," ujarnya.

Beliau turut menggariskan beberapa contoh kekeliruan yang dicetuskan oleh parti tertentu di negara ini akibat budaya kafir mengkafir dan menyifatkan perlembagaan negara sebagai 'perlembagaan penjajah, kafir dan jahiliah'.

"Betapa ramai yang telah menjadi korban oleh fatwa dan amanat parti anda itu?!

"Yang mengelirukan ialah ketika anda berbaik dengan parti tertentu anda memberi seribu dalil kelebihan parti-parti tersebut. Kemudian apabila anda bertelagah anda menjadikan mereka munafik, keluar jamaah Islam mati jahiliah, musuh Islam dan sebagainya.

"Yang mengelirukan itu ialah apabila ketika anda memenangi beberapa negeri dahulu anda menyatakan hudud bukan keutamaan. Bahkan anda menyatakan 'selesai masalah pengangguran dulu baru hudud'. Kemudian anda menyatakan sesat, liberal ataupun anti-Islam sesiapa yang mengungkapkan hal yang sama.

"Anda yang menuduh orang itu dan ini murtad, kemudian anda ingin buat undang-undang murtad? Berkepentingan!" ujarnya.

Sambil menyifatkan kekeliruan yang dicetuskan parti tersebut sebagai 'banyak', Dr Asri menasihati supaya agama Islam yang luhur tidak dipolitikkan kerana ia akan benar-benar mengelirukan umat Islam.

"Itu belum lagi kita bincang ceramah parti anda yang penuh maki hamun, mengkafirkan, menuduh sesat, kufur, tanam di kubur kafir, keluar parti keluar jamaah Islam maka tercabut Islam dan lain-lain," katanya mengakhiri penulisan.

Tulisan Dr Asri boleh diikuti di ruangan rencana.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel