Desakan berterusan ke atas kerajaan terhadap pembabitan M'sia di Yaman

Raja Bahrin Mohd Arshad Raji

Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah terus mendesak kerajaan mendedahkan penglibatan Malaysia di Yaman ekoran kenyataan terkini yang dikeluarkan oleh pesara tentera Brid.Jen. Datuk Mohd Arshad Raji semalam.

Datuk Mohd Arshad Raji Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah terus mendesak kerajaan mendedahkan penglibatan Malaysia di Yaman ekoran kenyataan terkini yang dikeluarkan oleh pesara tentera Brid.Jen. Datuk Mohd Arshad Raji semalam.

Mohd Arshad dalam satu kenyataan dipetik berkata, beliau bimbang pembabitan Malaysia dalam kempen perang diketuai Arab Saudi terhadap Yaman boleh mencetuskan reaksi daripada pihak yang tidak bersetuju dengan kempen itu.

Beliau merujuk kepada laporan terkini Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyatakan Amerika Syarikat menawarkan sokongan logistik dan risikan dengan pegawai dari Britain, Perancis dan Malaysia juga bekerja di ibu pejabat pakatan itu di Riyadh.

Arshad berkata Malaysia perlu mengikut contoh Britain dalam penghantaran tentera.Beliau berkata sebarang cadangan untuk menghantar tentera Britain ke negara lain akan dibahaskan di Parlimen supaya rakyat tahu mengenainya.

Dalam hal ini Raja Bahrin yang juga Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah menegaskan, sekiranya, Mohd Arshad telah bersuara mempersoalkan kenapa Malaysia terlibat bersama sekutu Arab Saudi menyerang Yaman sewajarnya ia dipandang serius oleh kerajaan.

"Saya telah menimbulkan persoalan ini sejak awal tahun 2016 di Parlimen tanpa mendapat jawapan yang memuaskan.

"Pada sesi Parlimen Mac 2017 ini, soalan saya sebagai ahli Parlimen Kuala Terengganu dan Dr. Hatta Ramli, juga dari Amanah, telah di jawap dengan penafian dari Kerajaan Malaysia ianya terlibatnya dalam serangan Yaman.

"Seperti kenyataan Jeneral (B) Mohd Arshad Raji, kenyataan saya juga berasaskan pada laporan PBB, bertarikh 11 Januari 2017 yang kerajaan sudah pasti maklum isi kandungannya melibatkan Malaysia dengan sekutu Arab Saudi dalam serangan ke atas Yaman.

Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah "Jeneral (B) Mohd Arshad juga menyebut Malaysia sebelum ini pernah terlibat dengan missi keselamatan- kemanusiaan menjaga keamanan dunia.

"Beliau kini menyoal mengapa sekarang kita harus terlibat dengan serangan Yaman di benua dunia lain apabila rantau kita menghadapi masalahnya yang tersendiri.

"Saya juga menimbulkan bahawa mengikut laporan PBB kemungkinan besar Malaysia juga terlibat dengan jenayah perang- "war crimes" bersama dengan sekutu Arab Saudi," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Raja Bahrin berkata, jika dahulu nama Malaysia harum sebagai Negara penjaga keamanan bersama PBB, ini adalah kali pertama ujarnya, Malaysia di kaitkan dengan tuduhan perang jenayah yang implikasinya amat serius.

"Kerajaan Malaysia mesti menjawap persoalan serta tuduhan tuduhan ini," tegasnya.

Sebelum ini Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan rasmi, menafikan tentera Malaysia terbabit dipetik berkata tuduhan itu tidak berasas dan bersifat fitnah.

Kementerian berkata tentera Malaysia dihantar ke Arab Saudi untuk menyediakan mereka bagi tugas yang perlu dilakukan seperti memindahkan rakyat Malaysia keluar dari Yaman jika keadaan memerlukan.

Ia berkata Arab Saudi menjemput pasukan tentera untuk mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan “Northern Thunder”, bertujuan memupuk perpaduan dalam kalangan negara Islam, bukannya fokus kepada operasi tentera di Yaman.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel