DAP cadang TV3, RTM siar secara langsung debat Nazri-Tun M

Tony Pua

DAP mencadangkan media arus perdana khususnya TV3 dan RTM menyiarkan secara langsung debat antara Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sambil menyokong penuh kesudian Nazri berdebat dengan Mahatir, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, ia merupakan medium terbaik bagi membincangkan skandal syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Malah, kami menggesa Kabinet mendesak agar TV3 dan RTM menyiarkan secara langsung sesi debat berkenaan jika benar kerajaan Persekutuan mengaku bahawa tiada apa untuk disorokkan (berhubung skandal 1MDB).

“Kerana ia adalah peluang terbaik bagi pentadbiran Najib untuk mematahkan segala tuduhan pembangkang terhadap 1MDB serta imejnya yang sedia ada tercalar kini,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Nazri yang juga ahli Parlimen padang Rengas mengesahkan debat tersebut akan berlangsung di Padang Rengas pada 25 Mac ini bermula jam 3 hingga 5 petang.

Ia rentetan cabaran Nazri awal bulan ini kepada Mahathir untuk melawannya di Padang Rengas dalam pilihan raya umum akan datang.

Mahathirmembuat cabaran balas dengan menyarankan Nazri untuk bertanding menentangnya di kerusi Parlimen Langkawi.

Sehari kemudian, Mahathir berkata, beliau tidak berhasrat untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-14.

Bagaimanapun, beliau mencadangkan agar diadakan debat berkenaan pelbagai isu termasuk 1MDB dan BMF.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel