Portal SEBENARNYA.MY akan semak kesahihan berita

SKMM

Portal SEBENARNYA.MY dilancarkan hari ini bagi membolehkan orang ramai menyemak kesahihan berita yang menular di laman sosial.

Dirasmikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, portal yang dibangunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) itu merupakan antara usaha kerajaan untuk mengekang penyebaran berita palsu bagi memastikan masyarakat menerima berita yang benar-benar sahih.

Berucap pada majlis pelancaran portal itu, Salleh berkata maklumat yang berkaitan akan dikumpul, dianalisa, disahkan dan dimuat naik dalam portal itu untuk rujukan rakyat tanpa mengira latar belakang politik.

Katanya, MCMC sehingga kini telah mengenal pasti hampir 1,000 berita palsu yang mempunyai kepentingan awam menular di dalam negara.

"Berita palsu, bukan sahaja mengelirukan, malah boleh mengancam keselamatan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan negara.

"Perkara ini bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi berlaku di Amerika Syarikat, Indonesia dan negara-negara Eropah," katanya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel