Skandal hartanah: Amanah Johor persoal maklumat 'bilik kebal' bolos

Dzulkifly AhmadDzulkifly Ahmad

Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Johor mendakwa Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin gagal dalam menyelia dan memantau agensi-agensi di bawah beliau daripada terlibat dalam skandal penipuan dan rasuah melibatkan hartanah di negeri itu.

Timbalan Pengerusi Amanah Johor Dzulkefly Ahmad berkata, kegagalan itu jelas terbukti apabila dokumen penting seperti geran atau suratan hak milik yang disimpan dalam 'bilik kebal' boleh diseludup keluar.

"Skandal yang terbaharu ini semakin melunturkan integriti dan kepercayaan rakyat Johor kepada kepimpinan Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin. Bagaimana Pejabat Tanah dan Galian Johor, salah satu agensi penting di bawah portfolio MB Johor selaku Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi telah terlibat dengan beberapa skandal rasuah sebelum ini boleh sekali lagi terlepas pandang oleh beliau," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kes bekas kakitangan Pejabat Tanah dan Galian Johor (PTG) yang ditahan polis di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) kerana terlibat dalam memalsukan nama pemilik tanah.

Mereka terlibat dalam memalsukan nama pemilik tanah yang terletak disekitar Johor Bahru milik warga Singapura dan Indonesia dan kemudian menjual hartanah tersebut kepada pihak lain. Setakat ini mereka telah menjual beberapa plot tanah dengan nilai lebih daripada RM15 juta.

"Isunya adalah kumpulan ini disyaki mempunyai 'orang dalam' di PTG yang bersubahat kerana PDRM telah merampas berpuluh-puluh dokumen yang dipercayai telsh dicuri dari Bilik Kebal di PTG Johor," katanya.

Beliau berkata, sikap Khalid yang seolah-oleh tidak berasa bersalah terhadap semua skandal hartanah yang berlaku ini memperlihatkan tahap kredibiliti dan sikap kebertanggungjawaban beliau yang sangat rendah sebagai seorang ketua kerajaan.

"Saya yakin seperti kes-kes skandal sebelum ini MB Johor akan mengeluarkan kenyataan 'kita serahkan kepada PDRM untuk buat siasatan dan kita akan memberikan kerjasama sepenuhnya'.

"Ini adalah satu 'escapism' untuk MB Johor lari daripada mengambil tanggungjawab atau akauntabiliti sebagai ketua kerajaan negeri Johor," katanya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel