Pas buka '25 jam sehari' untuk siasat isu RM90 juta

Idris Ahmad

Pas memaklumkan saman kepada portal Sarawak Report berhubung dakwaan kepimpinan kanan parti Islam itu menerima RM90 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang berjalan.

Manakala saman kepada Datuk Husam Musa sedang diteliti oleh pasukan peguam Pas, kata Naib Presiden Pas Idris Ahmad.

"Mereka yang bermusuh dengan Pas perli, kenapa lambat sangat, saya jawab proses saman memang lambat, yang cepatnya bawa lari kerusi," katanya seperti disiarkan Harakahdaily hari ini.

Bagaimanapun Sarawak Report pada Februari lalu menafikan bahawa Pas telah memulakan tindakan undang-undang terhadap laman web itu.

Husam yang merupakan bekas Naib Presiden Pas menerusi satu klip video ceramahnya bulan lalu mendakwa Pas menerima wang RM90 juta daripada Umno seperti didedahkan Sarawak Report.

Beliau juga mendakwa wang itu disalurkan melalui sebuah bank tempatan, Affin Bank.

Idris berkata, Pas membuka pintu 25 jam sehari kepada pihak yang bertanggungjawab untuk menyiasat dakwaan tersebut.

"Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low telah menyatakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah meneliti atas tuduhan ini maka jawatankuasa penilaian mendapati maklumat diterima tidak jelas dan tiada unsur-unsur yang membolehkan siasatan dibuat," katanya.

Menurut beliau juga, Pas bersetuju dengan SPRM yang mengalu-alukan sekiranya mana-mana orang yang mempunyai maklumat berkaitan dengan isu yang dibangkitkan ini hendaklah melaporkannya kepada pihak SPRM.

"Pihak Bank Negara juga boleh menyiasat atas transaksi wang yang didakwa masuk ke dalam akaun Pas," katanya yang juga ahli Parlimen Bukit Gantang.

Sementara itu, beliau mendakwa musuh Pas sengaja memfitnah parti itu supaya masyarakat khususnya orang Cina jauh daripada Pas.

"Daripada awal lagi Pas nafi, namun musuh-musuh Pas tetap degil untuk menyebarkan fitnah ini terutama di kalangan masyarakat cina supaya orang cina jauh daripada Pas.

"Kerana orang Cina yang berniaga mereka tidak boleh terima, apabila Pas menerima wang daripada Najib dalam keadaan perniagaan bertambah suram," katanya.

 

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel