• Kolumnis AMANAH 1Kolumnis AMANAH 1

RUU 355: Muktamadkan pendirian selepas dibahaskan di Dewan Rakyat

Tan Sri Muhyiddin Yassin Tan Sri Muhyiddin Yassin

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya akan memuktamadkan pendirian parti itu sama ada menyokong cadangan pindaan Rang Undang-Undang 355 setelah ia dibentangkan dan dibahaskan di Dewan Rakyat.

Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti itu belum membuat keputusan rasmi mengenai pendirian parti itu terhadap usul pindaan RUU 355 yang dibawa oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Usul ini tidak begitu jelas dan kita tidak boleh buat sebarang keputusan lagi.

"Sehingga kini saya sebagai Ahli Parlimen Pagoh tidak mengetahui kedudukan mutakhir yang akan dibincang dan di bahaskan di parlimen.

"Kita susah untuk buat keputusan muktamad kita akan tunggu dan lihat bagaimana format akhir yang akan dibentangkan MP Marang atau kerajaan sendiri," ujarnya.

Beliau ditanya media akan pendirian Bersatu terhadap RUU 355 yang dibentangkan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang.

Pada Ahad lalu, Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dipetik berkata, Bersatu menyokong cadangan pindaan RUU 355.

Tuan Ibrahim berkata, Muhyiddin dalam suatu mesyuarat bersama PAS menyatakan beliau akan memberikan komitmen sepenuhnya dalam isu yang berbangkit di Dewan Rakyat termasuk isu yang dikenali sebagai RUU 355 itu.

Bagaimanapun ketika ditanya media, Muhyiddin sebaliknya menafikan pihaknya benar-benar menyokong RUU 355.

"Ini kerana beberapa kenyataan di buat oleh pihak lain, bukan saya... walaupun saya telah jelaskan sehingga perkara itu dbentangkan semula oleh Abdul Hadi atau Jamil Khir (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) sebagaimana sudah disebutkan dalam sesi Parlimen lalu yang mana kerajaan akan mengkaji dengan teliti.

"Kenyataan dia (Tuan Ibrahim) tidak berapa tepat - kita nak melihat tetapi setengah pihak mengandaikan kita sudah bersetuju.

"Kita (Bersatu) sendiri pun belum lagi jelas tentang usul yang dibawa oleh ahli parlimen marang itu.

"Apakah nanti kerajaan akan bawa perkara itu atau Hadi akan membawa usul itu kerana ini bersangkutan urusan teknikal di Parlimen.

"Kita tidak boleh buat komitmen awal (untuk bersetuju) sebelum kita buat keputusan muktamad.

"Tunggu dibentangkan di Parlimen nanti," ujarnya.

RUU 355 yang dibawa Presiden PAS itu bertujuan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) dan ia dijadualkan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Ia dibaca kali kedua di Dewan Rakyat tahun lalu, tetapi Abdul Hadi menangguhkannya dan berkata beliau mahu memastikan masyarakat faham yang pindaan itu tidak terpakai kepada bukan Islam.

RUU itu bertujuan meningkatkan hukuman sedia ada untuk kesalahan syariah tertentu, termasuk hukuman penjara kepada 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan.

Pada masa ini, hukuman jenayah syariah terhad maksimum penjara 3 tahun, denda RM5,000 dan 6 sebatan.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel