Kisah pekebun sayur Melaka ditipu pemimpin politik Kelantan masuk parlimen

Sayuti Omar dedah di alam maya, MP Kota Melaka dedah di Parlimen.Sayuti Omar dedah di alam maya, MP Kota Melaka dedah di Parlimen.


Laporan polis seorang pekebun sayor dari Melaka, Bong Fook Sin, 51, bahawa beliau ditipu oleh seorang pemimpin politik dari Kelantan kini masuk ke parlimen.

Ahli parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him yang mengumumkan keluar dari DAP baru-baru ini meminta satu siasatan yang serius dibuat ke atas isu ini.

Dalam media sosial, penulis yang juga blogger Mohd Sayuti Omar adalah pihak yang memainkan isu ini sejak beberapa hari lalu melalui pendedahan sedikit demi sedikitnya.

Pada 13 Mac lepas, Sayuti menulis dalam blognya satu posting bertajuk "Nomini seorang Exco terima RM448,300 dari pekebun sayur?"

Menurut beliau, ketika itu kisah ini masih belum terbongkar lagi dan masih ramai yang tidak terperasaan walaupun ceritanya ada disiarkan dalam sebuah media arus perdana.

"Kita tidak mahu membuat tuduhan dan hanya akan cuba mengupas terhadap apa yang berlaku atau dilaporkan itu. Itu sahaja. Sekiranya kisah ini tidak benar, atau merupakan andaian atau palsu anggaplah ia sampah. Syukur Alhamdulilah," tulis beliau.

Kisahnya begini, tulis Sayuti dalam blognya itu.

"Ohya kisah ini dipadankan daripada satu laporan polis ertinya ia bukan kisah kosong sebab laporan polis dianggap dokumen yang sah. Sesiapa yang membuat laporan polis palsu ia boleh dikenakan tindakan dibawah akta tertentu. Jangan main-main.

"Laporan polis itu dibuat oleh seorang pekebun, penanam sayur dari negeri Hang Tuah Melaka. Namanya saya rahsiakan untuk keselamatan dan maruahnya," tulis Sayuti.

Namun apa yang cuba dirahsiakan beliau kini terburai di Dewan Rakyat apabila ahli parlimen yang keluar dari DAP itu mendedahkannya di parlimen dan disiarkan oleh akhbar The Star.

Dalam laporan polis itu, kata Sayuti, beliau mengadu satu kejadian semacam "sendiket" yang menawarkan tanah kepadanya untuk dijalankan perusahaan menanam sayur.

Tanah yang dijanji itu seluas 500 ekar terletak dalam Jajahan Kuala Krai, Kelantan. Daerah di mana tertegaknya tugu banjir yang menjadi kontroversi baru-baru ini kerana tapak pembinaanya menjadi pertikaian.

Kata setengah qaul tapak itu kepunyaan masjid Jauhar, setengah kaul lain kata tanah itu rezab jalan. Kedua-dua kaul itu bukan Syiah. Hehe..

Menurut laporan polis tersebut penanam sayur itu telah didatangi oleh dua lelaki berbangsa Cina.

"Namanya ada dengan saya dan saya tidak menyebutnya di sini buat sementara. Alasannya seperti tadi juga lah. Bagaimana dalam laporan akhbar nama mereka ada disebut dengan jelas," katanya lagi.

Kedua-dua lelaki itu telah menemui penanam sayur budiman itu memberi tahu dia dapat membantu untuk mendapat tanah pajakan seluas 500 ekar bagi tujuan industeri penanaman sayur di Kelantan.

Penanam sayur itu kurang mempercayai tawaran itu. Maka itu kedua lelaki itu telah "menemuikannya" dengan seorang wakil rakyat sebagai saksi atau pun gerentor, dakwa Sayuti.

Disebabkan mempercayai kepada wakil rakyat berkenaan penanam sayur itu bersetuju dengan tawaran itu dan bersetuju dengan syarat dikenakan untuk mendapatkan tanah itu.

"Syaratnya, penanam sayur itu kena bagi sekian banyak derma untuk parti agama (Pas) Kelantan bagi tujuan perbelanjaan pilihan raya.

"Syarat ini standard sahaja seperti dalam lain-lain pakej untuk menggodam duit rakyat sebelum ini; semuanya untuk tabung kebajikan atau parti," tulisnya lagi.

Menurutnya, semasa Tok Guru (Nik Abdul Aziz) masih hidup dulu beliau ada bercerita kepadanya setiap orang yang datang minta kawasan balak dengannya, mengatakan atau berjanji akan menyumbangkan sedikit kepada parti. Walhasil katanya tidak ada apa," tulis Sayuti lagi.

Penanam itu bersetuju, lantas itu beliau pada bulan-bulan tahun 2012 hingga Januari 2014 telah membuat tranksaksi melalui bank kepada salah seorang lelaki itu sebanyak RM582,000.00.

Dan apa mengejutkan penanam sayur itu juga telah membuat tranksaksi kepada seorang lelaki Melayu beragama Islam (namanya ada pada saya) sebanyak RM448,300.00. Mengejutkan lagi lelaki ini dikatakan Ketua Pemuda Pas Cawangan Pasir Mas, katanya.

Nama jawatan itu, tulisnya sedikit mengelirukan kerana jawatan sebegitu tidak ada dalam organisasi Pas, yang ada adalah Kawasan atau pun cawangan.

"Mungkin tersalah al maklumlah yang membuat laporan itu orang Cina yang tidak mengetahui mengenai terma dan hiraki dalam Pas," tulisnya lagi.

Persoalan kini, tulis beliau, siapakah lelaki yang dikatakan (mengaku) Ketua Pemuda Pas di Pasir Mas itu? Wujud atau tidak. Yang pasti dia wujud kerana dia ada nama dan ada identiti, tulisnya.

Lagi pun wang sebanyak RM448,300.00 itu dimasukkan ke dalam bank. Tentu ada slip. Cuma apakah benar dia adalah salah seorang anggota parti agama atau tidak? katanya lagi.

Pekebun sayur budiman itu, katanya, bertindak membuat laporan polis disebabkan dia berasa tertipu dengan tawaran untuk mendapat tanah berkenaan, yang kesemuanya berjumlah RM976,300.00.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: