Selamat maju jaya buat Rapelson, kata Amanah

Selamat majujaya buat Rapelson, kata Timbalan Setiausaha Agung Amanah, Abang Ahmad Kerdee.


Parti Amanah Negara (Amanah) mengadakan pertemuan santai dengan bekas calon Amanah Rapelson Richard Hamit yang bertanding di DUN Gadong pada Pilihan Raya Negeri Sarawak tahun lalu.

Rapelson baru-baru ini telah bertanding atas tiket calon Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) pada PRK N.03 Tanjung Datu dan sekarang memegang jawatan sebagai Ketua Penaja sayap Pemuda PBDSB.

Amanah diketuai Timbalan Setiausaha Agung Abang Ahamad Kerdee Abang Masagus bersama Ketua Amanah Sarawak Mohamad Fidzuan Zaidi serta setiausaha Abang Abdul Halil Abang Naili telah mengadakan pertemuan itu pada 14 Mac lalu.

Walaupun sudah berlainan parti, hubungan dan semangat menentang kezaliman serta menegakkan keadilan akan diteruskan.

Rapelson mengucapkan terima kasih kepada Amanah atas ruang yang diberikan kepadanya sebelum ini, sementara Amanah mengucapkan selamat maju jaya kepada Rapelson dalam perjuangannya bersama parti baru.

Rapelson ketika menerima watikah sebagai calon Amanah dalam PRN lalu.Dalam pilihan raya negeri Sarawak sebelum ini, Rapelson menjadi calon Amanah bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) N.26 Gedong.

Dalam pilihan raya kecil baru-baru ini pula, Rapelson Richard Hamit tidak kecewa meskipun hilang wang deposit pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu.

Beliau berkata walaupun kalah dan hilang wang deposit, PBDSB dapat membawa perubahan politik yang lebih matang dalam kalangan komuniti Dayak.

Malah tegasnya, semangat kesukarelaan komuniti Dayak juga meningkat dan kini lebih ramai berani tampil ke hadapan untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap kerajaan.

“Wang deposit saya RM5,000 adalah tajaan ma-syarakat yang protes terhadap kes Pemakai Menoa dan Pulau Galau, Rumah Sandah, Kanowit.

“Saya berasa lebih bebas sepanjang PRK ini. Mereka tampil berjumpa saya untuk menegakkan hak komuniti Dayak di Tanjong Datu khasnya dan Sarawak amnya,” katanya menerusi kenyataan akhbarnya selepas pilihan raya kecil itu berakhir.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel