'Pas loni adalah Pas Haji Hadi'

Husam ketika berucap dalam majlis ceramah umum Pakatan Harapan di Kota Bharu malam tadi.Husam ketika berucap dalam majlis ceramah umum Pakatan Harapan di Kota Bharu malam tadi.

Penasihat Amanah Kelantan, Datuk Husam Musa menyifatkan Pas pada masa ini bukan lagi parti yang menyambung perjuangan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz.

"Amanah adalah Pas Tok Guru Nik Aziz. Pas loni (sekarang) adalah Pas Haji Hadi (Presiden Pas)," katanya diikuti tepukan gemuruh orang ramai dalam ceramah di Cabang 4 Cherang, Kota Bharu semalam.

Menurutnya, Pas sudah hilang tumpuan untuk menumbangkan kerajaan yang diketuai Najib Razak seperti dapat dilihat pada reaksi pemimpin parti tersebut terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Ini (1MDB) karut, salah, jahat dan memudaratkan negara. Apa pendirian kita sebagai orang Islam? Ini adalah kemungkaran ekonomi yang ditentang oleh Islam dan otak yang sihat.

"Tiba-tiba kita yang asal Pas tak berapa (bersungguh) nak jatuhkan Najib. Ini yang saya syak sikit. Wayar mana yang putus? Saya bukan mekanik, nak sambung pun tak reti," ujarnya.

Sehubungan itu, Husam menegaskan fokus utama segenap lapisan rakyat Malaysia adalah menggantikan kerajaan sedia ada yang korup.

"Islam panggil tawwajuh. Fokus. Ingat tuhan. Bila kita angkat takbir (ketika sembahyang), wajjah itu, ulamak kata, tawwajuh iaitu fokus ingat Tuhan.  

"Jadi, tawwajuh kita sebagai rakyat Malaysia ialah bentuk kerajaan baru. Semua orang, Tok Guru, Tok Jahil, rakyat di kampung dan bandar, kena bersatu hati menyelamatkan negara kita daripada pemimpin yang mengkhianati negara. Ini kewajipan agama dan kewajipan demokrasi," tegasnya.

Beliau dalam majlis yang turut dihadiri Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Mahathir itu turut menyeru supaya ahli dan penyokong Pas berubah dengan menyokong Amanah.

"Analisis Prof (Datuk Mohamad) Agus Yusoff kata Pas mungkin hilang Kelantan. Saya takut orang Pas yang jadi penghulu rasa tak boleh makan gaji, orang Pas yang jadi peserta Ladang Rakyat rasa dah tak dapat elaun.

"Orang Pas yang jadi guru YIK (Yayasan Islam Kelantan) rasa kena pecat. Jadi, ambo (saya) kira semua pakat mari duduk dalam Amanah. Bila Amanah menang, selamat belaka," tambahnya lagi.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel