Kerajaan tidak ambil alih hutang 1MDB, ujar Menteri

1MDB syarikat pelaburan kedua negara yang dirundung pelbagai masalah.1MDB syarikat pelaburan kedua negara yang dirundung pelbagai masalah.

Pihak Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) tidak akan mengambil alih hutang-hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Malah, katanya, Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah menjelaskan bahawa hutang-hutang yang kekal dalam lembaran imbangan 1MDB adalah sukuk RM5 bilion, bon US$3.0 bilion serta bon International Petroleum Investment Co (IPIC) sebanyak US$3.5 bilion.

Pembayaran hutang-hutang itu akan dibuat menerusi aliran tunai seperti mana dinyatakan dalam Laporan PAC berkenaan.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bertulis bagi menjawab dakwaan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mengenai 1MDB.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen kelmarin, Pua mendakwa Putrajaya telah 'menyelamatkan' 1MDB dengan mengambil alih hutang bernilai lebih RM3.2 bilion.

Johari menjelaskan, walaupun MKD tidak akan mengambil alih hutang-hutang 1MDB, asas surat sokongan dan jaminan kerajaan masih kekal, sebagaimana dijelaskan Laporan PAC berkenaan.

Menurutnya, wujud perbezaan ketara antara hutang-hutang 1MDB yang tidak akan diambilalih oleh MKD serta hutang operasi syarikat projek Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) dan TRX City Sdn Bhd (TRXC).

Tegasnya, hutang operasi syarikat BMSB dan TRCX adalah sebahagian daripada aset serta liabiliti yang akan dibayar daripada aliran tunai projek itu.

Sambil menyuarakan kekesalannya terhadap dakwaan itu, Johari berkata Pua yang juga anggota PAC, bertindak memberi gambaran salah mengenai fakta sebenar dan mahu mengelirukan orang ramai biarpun hakikatnya perkara itu adalah "jelas, mudah dan dijelaskan secara umum," sepertimana dibuktikan dalam muka surat 81 Laporan PAC mengenai 1MDB.

Menurut Johari, tanah-tanah (projek) TRX dan Bandar Malaysia adalah milik asal kerajaan yang kemudiannya memutuskan untuk menjualnya pada 2010 dan 2013, masing-masing kepada 1MDB yang juga syarikat pegangan 100 peratus milik MKD.

1MDB pula bertindak memiliki tanah itu menerusi pegangan ekuiti 100 peratus dalam dua anak syarikat, TRXC dan BMSB, katanya.

"Berdasarkan transaksi itu, jelas sekali bahawa pemilikan kerajaan terhadap tanah-tanah itu berpindah daripada langsung kepada tidak langsung, menerusi MKD dengan pemilik mutlaknya adalah 1MDB dan anak-anak syarikatnya," katanya.

Menurut Johari, walaupun tanah Bandar Malaysia dijual pada jumlah nominal kepada BMSB, wujud tanggungjawab untuk membina dan menaik taraf enam pangkalan Tentera Udara DIraja Malaysia (TUDM) dan dua pangkalan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kos pembangunan berjumlah RM2.7 bilion dan 1MDB telah menyumbang sebanyak RM1.6 bilion.

"Walaupun tanah TRX itu dijual pada jumlah nominal kepada TRX, ada tanggungjawab untuk membina infrastruktur tidak hanya dalam TRX tetapi juga kawasan sekitar, termasuk sebuah terowong di bawah Jalan Tun Razak pada jumlah keseluruhan kira-kira RM3 bilion," katanya.

Beliau berkata TRXC dan BMSB turut mendapatkan hutang sebanyak RM800 juta dan RM2.4 bilion, masing-masing bagi tujuan pembinaan infrastruktur serta enam pangkalan TUDM dan dua pangkalan PDRM.

"Hutang-hutang ini adalah beserta tanah berkenaan apabila kedua-dua syarikat berkenaan mengumpulkan pembiayaan dan sekaligus menjadi sebahagian jaminan terhadap hutang berkenaan.

"Dalam erti kata lain, ia adalah hutang operasi kedua-dua syarikat itu," katanya.

Menerusi kelulusan pembangunan infrastruktur dan perancangan diperoleh TRXC dan BMSB dari 2010/2013 sehingga ke hari ini, Johari berkata nilai tanah-tanah TRX dan Bandar Malaysia ternyata meningkat dengan ketara.

Menurunya, antara cadangan PAC pada April tahun lepas adalah MKD mengambil alih pemilikan langsung tanah-tanah Bandar Malaysia dan TRX daripada 1MDB.

Antara kaedah paling cekap bagi merealisasikannya adalah menerusi pemindahan saham-saham TRXC dan BMSB kepada pihak MKD.

"Oleh itu, selain daripada memiliki syarikat-syarikat ini menerusi 1MDB, MKD akan memiliki secara langsung menerusi BMSB dan TRXC, beserta kesemua aset dan hutang operasi syarikat-syarikat berkenaan," katanya.

Menurutnya, pembayaran semula hutang-hutang TRXC dan BMSB adalah menerusi aliran tunai masa depan syarikat-syarikat itu sebagaimana dinyatakan dalam muka surat 81 Laporan PAC itu.

"Malah, selagi TRXC terus dimiliki 100 peratus oleh MKD, perlu ditegaskan juga bahawa satu perjanjian jual beli sudah dimeterai dengan sebuah konsortium bagi penjualan 60 peratus pegangan ekuiti saham dalam BMSB," katanya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel