Jangan jadikan Bank Rakyat seperti FGV

Bank Rakyat adalah bank koperasi negara yang berkembang pesat.Bank Rakyat adalah bank koperasi negara yang berkembang pesat.

Kerajaan diingatkan agar pengalaman pahit yang dialami Felda selepas diambil alih dan penyenaraian FGV di Bursa Malaysia tidak berulang kepada Bank Rakyat ekoran desas-desus pengambilalihan bank koperasi itu bertiup kencang, tegas Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad.

"Benar kita tidak harus negatif, tetapi pengalaman dan sejarah terdekat, cukup mengajar rakyat dan sewajarnya mereka harus cemas dan curiga.

"Kisah sedih dan pahit nasib peneroka Felda dan langkah pensenaraian FGV amat mengajar rakyat. Mereka  menaggung hutang sementara harga saham terus menjunam berbanding semasa disenaraikan dahulu.

"Kekayaan yang diagih kepada rakyat, kembali dimiliki oleh pihak korporat atau kapitalis baru," katanya mengulas spekulasi Bank Rakyat akan diambil alih oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Menurut beliau, PNB sememang punya banyak syarikat besar seperti Maybank dan Sime Darby.
 
"Namun yang penting adalah prestasi. Maybank contohnya tidaklah sehebat saingan setara dengannya seperti CIMB. Begitu juga Sime Darby kalau diukur atau di'benchmark' dengan yang sama liga dengannya seperti IOI contohnya," kata Dzulkefly.

Beliau mempersoalkan, bagaimanakah Bank Rakyat akan dapat ditambah nilai setelah digabungkan oleh PNB dengan mana-mana syarikat PNB?

"Lebih dikhuatiri adalah langkah penggabungan seperti ini hanya mengizinkan PNB atau sesiapa pun yang mengambil alih Bank Rakyat ini, untuk mewujudkan pelbagai jawatan lantikan seperti menjadi ahli Lembaga Pengarah atau Pengerusi dan sebagainya dengan tidak menambah nilai, sebaliknya membebankan syarikat dengan kos pengurusan," katanya.

Cakap-cakap dalam pasaran kewangan tentang konsolidasi sektor kewangan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), bakal menyaksikan pengambilalihan Bank Rakyat oleh PNB.

Berita ini menimbulkan kekhuatiran beberapa pihak yang khuatir dengan prestasi bank koperasi itu setelah diambil alih..
 
Bank Rakyat adalah bank koperasi Islam terbesar dan mempunyai prestasi  yang memberangsangkan setiap tahun.

Ia ditubuhkan pada September 1954 di bawah Ordinan Koperasi 1948, berikutan perkembangan gerakan koperasi di negara ini.

Berita lanjut di mingguan Amanah keluaran terbaru. Dapatkan naskah anda esok.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: