Silibus UEC: Annuar keliru tidak faham asas DPN, selar GPMS

Tan Sri Annuar MusaGabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyifatkan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang lantang menyokong pengiktirafan ke atas peperiksaan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) anjuran Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) sebagai keliru dan tidak memahami akan asas pembentukan Dasar Pendidikan Negara.

Presidennya Zambri Mohd Isa berkata, kenyataan beliau itu jelas menunjukkan bahawa beliau keliru akan asas pembentukan negara dalam konteks pendidikan.

"GPMS menolak sebarang pengiktirafan ke atas UEC bukan kerana faktor perkauman mahupun politik.

"Sebaliknya ialah keangkuhan Dong Zong iaitu pertubuhan Cina yang menaungi peperiksaan UEC dalam mematuhi Dasar Pendidikan Negara dengan mengubahsuai silibus peperiksaan UEC bagi memasukkan subjek Bahasa Melayu dan Sejarah yang setara dengan peperiksaan SPM walaupun sudah diberi peluang oleh Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pendidikan Tinggi," ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Zambri Mohd IsaAnnuar dalam hujahnya semalam di Parlimen, menyatakan bahawa isu UEC tidak harus dilihat melalui konteks pemikiran sempit dan prejudis.

Beliau dipetik berkata UEC harus diterima sebagai suatu sistem pendidikan, bukan soal perkauman mahupun politik.

Zambri berkata gabungan itu juga tidak bersetuju sama sekali dengan kenyataan Annuar itu bahawa negara akan mengalami kerugian kerana 90% lepasan UEC menyambung pengajian di luar negara.

"Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa lepasan UEC ini tidak langsung berminat untuk menyambung pengajian di dalam negara walaupun pindaan Akta Pendidikan 1996 telah membolehkan mereka menyambung pengajian di Universiti Swasta dalam negara.

"Justeru, tidak ada keperluan untuk mengorbankan tempat di Universiti Awam bagi lepasan SPM yang patuh pada Dasar Pendidikan Negara untuk diberikan kepada lepasan UEC," ujarnya.

Zambri berkata, statistik keputusan SPM 2016 baru-baru ini juga menunjukkan peningkatan dalam pencapaian lepasan SPM dan seharusnya lebih banyak tempat di Universiti Awam patut diperuntukkan kepada mereka.

Justeru ujarnya lagi, GPMS melihat bahawa keengganan Dong Zong dalam meminda silibus mereka yang sebenarnya boleh disifatkan sebagai pemikiran yang sempit.

"Adakah ia menjadi satu masalah besar kepada mereka untuk memasukkan subjek Bahasa Melayu dan Sejarah?

"Adakah ia dilihat sebagai satu beban kepada pelajar mereka berbanding dengan memangsakan lepasan mereka dari mendapat tempat di Universiti Awam?

"Kesimpulannya, keangkuhan Dong Zonglah yang menjadi batu penghalang ke arah pengiktirafan ke atas UEC, kerana kerajaan telah pun memberi banyak peluang serta kelonggaran untuk mereka," ujarnya.

Zambri menegaskan Annuar sebagai Pengerusi MARA (yang dalam tempoh direhatkan), perlu melihat MRSM sebagai satu contoh bagaimana sebuah maktab elit untuk kaum Bumiputera milik Mara yang masih mampu melahirkan modal insan yang berkualiti walaupun mengunapakai silibus SPM, di samping mengambil peperiksaan lain seperti IGCSE dan lain-lain.

"GPMS tidak nampak sebab untuk Dong Zong tidak melaksanakan dasar yang sama iaitu meminta pelajar Sekolah Menengah Persendirian Cina mengambil dwi-peperiksaan, SPM dan UEC sekiranya mereka masih berkeras kepala untuk mengubah silibus asal mereka.

"GPMS berharap agar Tan Sri Annuar dapat bermuhasabah diri dan berfikir secara rasional akan isu pengiktirafan ke atas UEC ini.
"Ia bukanlah soal sama ada kerajaan mengiktiraf peperiksaan ini bagi kemasukan ke Universiti Awam atau tidak, ianya berbalik kepada soal paling penting dalam asas pembentukan negara dan penyatuan rakyat Malaysia, iaitu kepatuhan kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan," tegasnya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel