Bincang RUU 355 dengan ilmu bukan sentimen, kata Wan Ji

Wan Ji Wan Husin

Ahli parlimen atau sesiapa sahaja yang mahu berbincang mengenai rang undang-undang yang dibawa ke parlimen perlu berasaskan ilmu, bukan sentimen.

Exco angkatan muda Keadilan (AMK) Wan Ji Wan Husin mahu proses pembuatan undang-undang di parlimen dibezakan dengan ketetapan hukum yang ditentukan al-Quran dan sunnah.

"Proses pembuatan undang-undang di dewan perundangan dihasilkan melalui perbahasan rasional dan mendapat persetujuan majoriti.

"Ini berbeza sama sekali dengan hukum-hukum agama yang diterima berasaskan wahyu dan sunnah nabi yang wajib ditaati oleh umat Islam," katanya ketika menyertai program parlimen kedai kopi anjuran PKR cabang Kota Bharu semalam.

Beliau menolak sikap taksub kerana sentimen kepartian dan kepatuhan membuta tuli kepada pemimpin tertentu yang kini menjadi budaya termasuk dalam kalangan ahli-ahli parlimen.

"Misalnya dalam kes RUU 355 hujah yang diberi kita kena sokong kerana ini kehendak agama atau ini dibawa oleh ulama nombor dua dunia.

"Cara berhujah seperti ini akan membawa kerosakan kepada agama Islam itu sendiri," katanya.

Program bertema "Ahli parlimen yang ada... puas hatikah anda?" itu turut dihadiri ketua cabang Keadilan Kota Bharu Abu Samah dan ketua Amanah kawasan Kota Bharu Kamaruzaman Ismail.

Menurut Wan Ji, sebagai satu cadangan undang-undang yang dibawa ke parlimen RUU 355 sepatutnya diberi peluang seluas-luasnya untuk dibahas, dikritik atau ditolak oleh sesiapa sahaja asalkan mereka menggunakan hujah-hujah berdasarkan ilmu.

"Cadangan ini hanyalah satu pembaikian kepada satu undang-undang yang telah sedia ada dan telah begitu lama diamalkan.

"Jadi usaha menolak kritikan dan bantahan secara sentimen kononnya seperti mengkritik Islam dan menolak agama adalah dangkal," katanya.

Beliau juga berkata, Malaysia mengamalkan demokrasi yang pelik kerana di parlimen perbahasan berasaskan ilmu tidak dianggap penting sebaliknya mereka lebih gemar mempertahankan sesuatu kerana perpuakan dan ketaksuban kepada pemimpin tertentu di kalangan mereka.

"Yang penting masuk parlimen dengan pakaian bergaya bukannya dengan otak bergeliga.

"Kita perlu mengikuti jejak langkah negara-negara maju walaupun tidak beragama Islam tetapi menghormati ilmu dan kebenaran," katanya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel