Royalti Kelantan, hapus PTPTN agenda utama selepas tawan Putrajaya, kata Husam

Husam menyerahkan peralatan bola sepak untuk pemuda di majlis ceramah di Rantau Panjang malam tadiHusam menyerahkan peralatan bola sepak untuk pemuda di majlis ceramah di Rantau Panjang malam tadi

Kejayaan gabungan parti-parti pembangkang menawan Putrajaya dalam pilihan raya akan datang membolehkan agenda tertangguh rakyat khususnya di Kelantan segera dilaksanakan.

"Saya yakin perdana menteri baru yang menduduki Putrajaya akan menyebelahi agenda rakyat yang banyak tidak dipedulikan sekarang," kata Penasihat Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan Datuk Husam Musa ketika berceramah di Rantau Panjang malam tadi.

Perdana menteri baru nanti katanya tentulah akan mendengar suara rakyat yang mendukung perubahan dengan menolak kerajaan yang mendera rakyat sekarang.

"Katalah Tun Mahathir Mohamad jadi PM dan saya bertugas di jabatan perdana menteri, saya berjanji akan jumpa Tun dalam masa dua minggu dan minta segara bayar royalti minyak Kelantan.

"Saya jua akan minta impian yang telah lama saya nyatakan untuk masuhkan PTPTN.

"Bila Kelantan dapat royalti kita akan segera menggerakkan program bagi membolehkan generasi mendapat peluang dari segi ekonomi dan kegiatan sosial lain," katanya.

Husam mendedahkan kerajaan negeri sekarang tidak peduli keperluan rakyat dalam menggerakkan pembangunan.

"Kita ambil contoh Bazar Abdul Rahman bin Auf di Rantau Panjang tempat parkir dipenuhi air, sewa mahal, jalan masuk teruk.

"Tentu cara buat projek macam ni bukan nak tolong rakyat," katanya.

Kelantan katanya yang begitu banyak kelebihan akan digerakkan semula supaya mampu bersaing dengan kawasan lain di negara ini malah ke peringkat antarabangsa.

"Kita bukan sahaja akan mencari peluang kepada golongan muda yang berpelajaran tinggi tapi juga mereka yang tiada peluang belajar tinggi.

"Masa Tok Guru dulu kita telah rancang adakan litar khas untuk golongan belia rempit ada tempat menjalankan aktiviti mereka.

"Malah Tok Guru mahu mereka diberi peluang menunjukkan bakat dalam ubah suai motosikal kerana kata almarhum tentu mereka hebat kalau diberi kesempatan, " katanya.

Berkenaan keretapi laju yang dicadangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib beliau berkata projek itu sama sekali bukan keperluan rakyat.

"Projek ini sama sekali bukan kehendak rakyat Kelantan tetapi kehendak Najib yang mahu pinjam duit untuk tutup skandal 1MDB," katanya.

Turut berceramah di majlis itu ialah ketua penerangan Parti Pribumi Bersatu Melaysia (Bersatu) dan ketua Amanah kawasan Sik, Leman Raja Lawak.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel