Selepas Selayang, Pemuda Pas Tumpat pula putuskan hubungan dengan PKR

Mesyuarat Agung Dewan Pemuda Pas Tumpat kali ke-40 malam tadi meluluskan usul tergempar memutuskan hubungan dengan PKR - Foto FB Pemuda Pas TumpatMesyuarat Agung Dewan Pemuda Pas Tumpat kali ke-40 malam tadi meluluskan usul tergempar memutuskan hubungan dengan PKR - Foto FB Pemuda Pas Tumpat

Dewan Pemuda Pas kawasan Tumpat meluluskan usul tergempar membatalkan tahaluf siyasi (kerjasama politik) sekaligus memutuskan hubungan dengan PKR.

Usul yang dikemukakan Perwakilan Cabang Empat Kedai, Ahmad Fadli Abu Bakar dalam mesyuarat agung kali ke-40 malam tadi turut mahu kerusi yang dipinjamkan parti itu kepada PKR pada pilihan raya umum lalu diambil balik.

Ketika membentangkan usul tersebut, Ahmad Fadli berkata, langkah itu perlu dilakukan kerana PKR yang mengaku mempunyai hubungan tahaluf siyasi dengan Pas dalam masa sama mengekalkan kerjasama dengan musuh parti itu iaitu DAP dan pati Amanah Negara (Amanah).

Menurutnya, PKR juga menunjukan sifat biadabnya apabila menerima keahlian Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar yang menang atas tiket Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

“Dengan itu, saya mengusulkan kepada Dewan Pemuda Pas negeri untuk dipanjangkan kepada Dewan Pemuda Pas dan Pas Pusat supaya memutuskan segera hubungan dengan PKR secara menyeluruh termasuk tidak lagi membantu mereka pada pilihan raya,” katanya seperti dipetik portal Utusan Malaysia.

Sementara itu, Pemangku Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat Mohd Hushaimi Hussain menegaskan, jika PKR ingin meneruskan tahaluf siyasi dengan Pas, mereka harus menghormati dasar dan prinsip perjuangan parti Islam itu.

"Sekiranya PKR ingin bersama dengan Pas dan mengadakan tahaluf siyasi dengan Pas, maka semestinya PKR menghormati dasar dan prinsip perjuangan Pas iaitu menegakkan syariat Islam," katanya.

Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudin yang turut dihadiri Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas negeri, Nazman Che Iberahim.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: