Urus semula sumber air untuk generasi depan

Husam merasmikan kursus penanaman kulat anjuran angkatan wanita Amanah (Awan) negeri Kelantan semalamHusam merasmikan kursus penanaman kulat anjuran angkatan wanita Amanah (Awan) negeri Kelantan semalam

Sumber air yang mewah di negara ini perlu diurus semula supaya mampu menstabilkan cuaca dan menyiapkan bekalan untuk generasi depan.

Husam MusaHusam Musa"Di negara-negara maju sumber air sangat diberi perhatian untuk dikendalikan secara lestari dengan cara membina tasik-tasik buatan atau pembinaan semula laluan sungai," kata penasihat Amanah Kelantan, Datuk Husam Musa di majlis perasmian kursus penanaman kulat anjuran angkatan wanita Amanah (Awan) negeri Kelantan semalam.

Menurutnya struktur asal muka bumi mengandungi banyak kawasan takungan air dalam bentuk tasik, paya, alur dan kawasan lembah yang wujud bersama sungai-sungai bersaiz besar.

"Malangnya cara kita melaksanakan pembangunan telah merosakkan alam semulajadi ini kerana semua kawasan yang asalnya tidak kering sepanjang tahun ditimbus untuk membina bangunan-bangunan, jalan dan struktur pembangunan lain.

"Jika kita terus menerus dengan model pembangunan seperti ini kita akan kehilangan persekitaran asal yang begitu kondusif untuk pertanian dan kesegaran kawasan hijau," katanya.

Tumbuhan seperti kulat katanya memerlukan persekitaran lembab dan sejuk untuk tumbuh subur.

"Dulu kulat amat mudah ditemui di sekeliling rumah kita dan boleh digunakan sebagai salah satu sumber makanan, namun sekarang amat sukar untuk kulat ditemui tumbuh secara semulajadi.

"Ini akibat dari cara kita yang tidak peduli tentang pemusnahan pokok dan pengekalan kawasan-kawasan sumber air," katanya.

Husam berkata jika Amanah diberi peluang mentadbir, model pembangunan perlu diubah supaya generasi depan memperoleh manfaat.

"Di negara lain, tasik-tasik buatan dibuat bersebelahan dengan kawasan-kawasan pembangunan.

"Ada pula yang membuat semula aliran sungai supaya seluruh negeri dilalui laluan air untuk dimanfaatkan oleh semua penduduk.

"Dengan cara ini banjir boleh dikawal kerana walaupun hujan lebat, sungai yang panjang dapat menampung," katanya.

Beliau memuji pihak Awan negeri yang menganjurkan kursus penanaman kulat kerana aktiviti ini sebenarnya amat mesra penjagaan alam sekitar.

"Untuk menjadikan kulat tumbuh subur, kawasan redup diperlukan.

"Ini bermakna hanya kawasan yang memiliki pokok-pokok besar dan rendang sahaja membolehkan tanaman kulat diusahakan," katanya.

Kursus yang dihadiri 50 peserta di Wisma Tok Guru itu didedahkan dengan kaedah penanaman kulat sisir dan kulat melati yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran sekarang.

Pengarah kursus berkenaan yang juga timbalan ketua Awan negeri Norashidah Jaafar berharap orang ramai akan turut menyertai aktiviti ini untuk menjana pendapatan tambahan.

"Sesiapapun boleh ikut serta aktiviti menanam kulat ini kerana ia boleh dilakukan di persekitaran rumah sahaja.

"Insya Allah pihak Awan akan menyelaraskan aktiviti ini termasuk membeli dan memasarkan produk kulat yang dihasilkan peserta," katanya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel