Pas tidak lagi lantang londeh kepincangan Umno, dakwa pemimpin Bersatu

Wan Mohd Shahrir Wan Abd JalilWan Mohd Shahrir Wan Abd Jalil

Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa Pas tidak lagi lantang melondehkan kepincangan Umno-BN.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Mohd Shahrir Wan Abd Jalil berkata sikap Pas mutakhir ini tidak banyak membantu usaha rakyat untuk menumbangkan parti penindas itu.

"Saya pun tidak pasti apa sebenarnya pendirian kepimpinan Pas pada masa ini.

"Tapi secara peribadi, saya melihat Pas tidak lagi lantang bercakap tentang kepincangan Umno-BN.

"Kalau dulu dalam isu Felda, Pas ada Mazlan Aliman (Pengerusi Anak) tapi beliau kini sudah menyertai Amanah.

"Walhal, dalam keadaan sekarang, mana-mana (parti) yang tidak bersama Pakatan Harapan dan Bersatu, maka dia tentunya sudah sebelah sana (BN)," tegasnya ketika ditemui Malaysia Dateline pada Konvensyen Warga Felda di Shah Alam hari ini.

Saifuddin Nasution Ismail (kiri) menerangkan sesuatu kepada Mazlan Aliman (tengah) dan Wan Mohd Shahrir di Konvensyen Warga Felda, Shah Alam hari iniSaifuddin Nasution Ismail (kiri) menerangkan sesuatu kepada Mazlan Aliman (tengah) dan Wan Mohd Shahrir di Konvensyen Warga Felda, Shah Alam hari ini

Mengulas keputusan 37 undi yang diperoleh Ketua Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Aziz yang bertanding jawatan Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Pengkalan Chepa semalam, beliau berkata, itu satu isyarat dari akar umbi parti tersebut terhadap pemimpin mereka.

"Kita boleh anggap ahli-ahli Pas sudah jelas menyampaikan mesej penting menolak pemimpin mereka yang mesra Umno-BN," ujarnya.

Sehubungan itu, Wan Shahrir berharap kepimpinan Pas kembali fokus kepada usaha menjatuhkan Umno-BN termasuk menjalin permuafakatan dengan rakan-rakan parti pembangkang.

"Mungkin selepas muktamar mereka April depan, ada sinar lebih baik tentang pendirian dan kerjasama yang lebih jelas daripada Pas.

"Memanglah pimpinan Pas tak bercakap terus-terang menjalin hubungan dengan Umno-BN tapi semua orang boleh nilai bagaimana sikap Pas pada masa ini," jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau tidak menolak kemungkinan berlakunya pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) jika Pas masih tidak jelas pendirian.

"Kita mungkin terpaksa bersedia untuk pertandingan tiga penjuru. Ya. Kita (Pakatan Harapan dan Bersatu) masih ada peluang untuk menang.

"Tetapi tentunya peluang lebih mudah kalau hanya satu lawan satu," ujar Wan Shahrir lagi.

Konvensyen Warga Felda 2017 anjuran kerajaan negeri Selangor dengan kerjasama Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) dan Pakatan Harapan adalah lanjutan daripada konvensyen pada 2012.

Turut diadakan di Shah Alam, Konvensyen Hala Tuju Felda anjuran Gerakan Selamatkan Felda ketika itu diadakan di Universiti Selangor (Unisel).

 

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel