Rekod Ezam banteras rasuah tidak terserlah banding PH dan Pas

Azmi HassanAzmi Hassan

Ungkapan "memerangi rasuah" dikatakan satu faktor yang boleh menarik minat ramai rakyat Malaysia tetapi apabila diterjermahkan kepada misi parti politik maka ianya dianggap begitu lazim kerana objektif ini sememangnya wujud dalam semua parti politik di Malaysia.

Justeru hasrat bekas Senator Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor mahu tubuhkan parti berpaksikan banteras rasuah sebagai sebuah parti politik pembangkang dianggap sukar untuk bertahan, kata Geostrategis Azmi Hassan, dari Perdana School and Geospatial Institut, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

"Jika sebuah organisasi atau NGO mempunyai visi tunggal iaitu untuk memerangi rasuah maka ianya amat bersesuaian tetapi jika parti politik hanya mempunyai misi tunggal ini, maka ianya agak sukar untuk berjaya.

"Memang benar strategi Ezam ialah untuk menarik simpati pengundi kerana rasuah itu ditolak oleh semua pihak.

"Namun dalam percaturan politik, agenda seperti ini sukar untuk bergerak secara bersendirian," ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Walaupun Ezam menyatakan pendiriannya untuk menyertai gabungan Pakatan Harapan namun, kata Azmi, ianya tidak banyak membantu kejayaan parti baharu mahupun Pakatan Harapan.

"Hanya satu cara untuk tumbangkan BN,  pertandingan dua penjuru iaitu BN lawan pembangkang.

"Jika lebih banyak parti serpihan ditubuhkan maka ini akan menyukarkan lagi pembangkang untuk bahagikan kerusi.

"Malah kehadiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia dalam Pakatan Harapan sudah begitu menyukarkan pembahagian kerusi di antara mereka. Ini belum lagi jika PAS berada dalam Pakatan Harapan.

"Sebelum cadangan Dr Mahathir dapat direalisasikan, Pakatan Harapan dan juga parti serpihan yang lain perlu bersetuju dengan agihan kerusi terlebih dahulu.

"Setakat hari ini belum nampak jalan penyelesaian, faktor pembahagian kerusi dianggap kritikal kepada sebarang harapan pembangkang untuk tumpaskan BN sebab itu penggunaan satu logo dilihat perkara kedua dari segi kepentingannya," ujar beliau.

Datuk Mohamad Ezam Mohd NorDatuk Mohamad Ezam Mohd NorMengulas mengenai cita-cita Ezam untuk menumpukan kepada Parlimen Pekan dan Titiwangsa dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, ia juga dilihat sukar untuk gabungan Pakatan Harapan dan Pas menyerahkan kerusi khusus kepada Ezam.

"Begitu sukar untuk Pakatan Harapan dan PAS memberi peluang kepada parti baharu Ezam hanya kerana parti beliau berteraskan untuk memerangi rasuah.

"Jangan lupa kewujudan rasuah bukan hanya terikat dengan Menteri Kewangan dan timbalannya sahaja dan sebab itu sukar bagi Ezam untuk menyakinkan parti lain untuk beri laluan.

"Lagipun kawasan Parlimen Pekan (disandang Datuk Seri Mohd Najib Razak) dikatakan kerusi strategik bukan kerana pembangkang akan menang tetapi sebagai simbol tentangan kepada BN.

Dikalangan pengundi pula Ezam menyakini parti baharunya itu kelak akan menarik sokongan pengundi muda.

Dalam hal ini Azmi berpandangan sememangnya golongan muda mempunyai minat untuk melihat situasi negara berada pada kedudukan sifar rasuah.

"Tetapi persoalannya, mengapa perlu pengundi muda sokong parti Ezam untuk banteras rasuah sedangkan rekod Ezam banteras gejala ini tidak menyerlah berbanding dengan beberapa ahli politik dari BN atau Pakatan Harapan atau PAS.

"Saya menjangkakan Ezam mahu kawasan bertanding dalam PRU dan strategi terbaik adalah mengguna faktor banteras rasuah dan seterusnya bertanding di kawasan Menteri dan Timb Menteri Kewangan masing-masing di Parlimen Pekan dan Titiwangsa.

"Begitu jelas sekali motif sebenar Ezam tubuh parti baharu lebih menjurus kepada keinginan untuk bertanding dalam pilihan raya umum dan bukan untuk perangi rasuah.

"Jika menyertai mana-mana parti dalam gabungan Pakatan Harapan, Ezam akan punya peluang yang tipis untuk bertanding kerana Ezam juga tidak mempunyai sejarah kekuatan dalam politik tempatan," ujarnya.

Ezam baru-baru ini mendedahkan beliau akan bersama beberapa lagi aktivis yang pernah dipenjarakan di dalam perjuangan memerangi rasuah akan menubuhkan dan mempolopori sebuah parti politik baharu khusus memberi fokus kepada matlamat sama.

Sebagai rekod Ezam ketika di dalam Umno pernah memegang jawatan di peringkat bahagian dan pernah menjadi Setiausaha politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apabila Anwar dipecat sebagai timbalan perdana menteri, Ezam menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang ditubuhkan Anwar. Beliau adalah bekas Angkatan Muda PKR sehingga 2005.

Ezam pernah menubuhkan Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) pada 2008. Ezam meninggalkan PKR dan kembali kepada Umno kemudian ditawarkan jawatan Senator pada 2010. Pada 2016  Ezam kembali mengumumkan keluar Umno setelah beranggapan Umno tidak lagi serius membanteras rasuah dan mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia pada 2016, namun hanya bertahan tiga bulan sebelum membuat keputusan untuk keluar dari Bersatu pada Disember tahun sama.

 

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel