• Kolumnis AMANAH 1Kolumnis AMANAH 1

Sama seperti Amanah, bila Pas mahu lihat RUU355 sebelum dibentang Umno

Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Pendirian Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk melihat dahulu draf RUU 355 yang akan dibentangkan oleh Barisan Nasional (BN) selari dengan hasrat Amanah sebelum ini, kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah.

Beliau berkata,  sejak  awal RUU355 dibentangkan Ahli Parlimen Marang itu, Amanah telah membuat pendirian ia perlu dibentang dan dibahaskan sebelum parti itu menetapkan pendirian sama sama ada menyokong RUU355 atau sebaliknya.

" Saya bersetuju 100 peratus kerana kami pun sejak pada pembentangan pertama RUU355 oleh Presiden PAS, telah menyatakan kami hanya boleh membuat pendirian setelah ianya di bentang serta di bahas.

"Saya sendiri telah diasak berkali-kali hingga ada ahli PAS yang menghantar memorandum untuk mendesak saya bersetuju menyokong RUU 355 tanpa saya berpeluang meneliti RUU tersebut dan sebelum ianya dibahas.

"Seperti semua maklum Presiden PAS telah dua kali membawa RUU 355 di Parlimen dan dua kali minta ianya tidak dibahas dan ditangguh.

"Kerana itu kami tidak boleh membuat pendirian perkara yang tidak ada maklumat yang lengkap tanpa pembentangan terperinci dan perbahasan.

"Kerana itulah hari ini Presiden PAS sendiri meminta untuk lihat RUU 355 dari BN sebelum ianya dibentang.

"Saya harap ahli dan penyokong PAS yang menuduh kami dengan berbagai toHmahan keras sekarang memahami situasi kami kerana Presiden PAS sendiri sekarang memohon pencerahan yang sama yang kami telah minta sebelum ini," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Raja Bahrin mengulas mengenai pendiriani Abdul Hadi pada Sabtu, yang mahu BN memberi peluang kepada parti itu meneliti terlebih dahulu draf RUU 355 sebelum dibentangkan dalam sidang dewan rakyat kali ini.

“Kita perlu lihat dulu apa dia (draf) yang ingin dibentangkan dan kita tidak mahu ia bertindih atau berlawan,” katanya kepada media selepas menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Profesional Malaysia, di Cyberjaya seperti dilaporkan media.

Sebelum itu pada Rabu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa BN akan membentangkan RUU 355 pada sidang Parlimen kali ini sebagai usaha untuk memartabatkan agama Islam dan kedaulatan bangsa Melayu tanpa menjejaskan pihak lain.

Raja Bahrin mengingatkan Pas dan Umno tidak seharusnya memonopoli isu RUU 355 hanya untuk agenda parti masing-masing.

" Janganlah kami di persalahkan perkara yang Presiden PAS sendiri sekarang meminta pencerahan.

"Oleh kerana itu PAS dan Umno tidak patut memonopoli isu RUU 355 ini hanya untuk agenda tersendiri mereka dan menghalang serta menuduh PKR, DAP Amanah dan  Bersatu dengan tuduhan yang keterlaluan.

"Kalau Presiden PAS benar-benar mahu satu kerjasama yang baik untuk semua, janganlah tuduh kami semua macam-maam sebelum RUU 355 ini dibentang dan dibahas pun lagi.

"Islam menuntut keadilan. Oleh itu berlaku adil lah dan dengar perbahasan kami terdahulu sebelum menuduh kami dengan berbagai tohmahan. 

"Islam adalah untuk semua dan bukan hak milik PAS dan Umno sahaja menentukan RUU 355," ujarnya.

Raja Bahrin juga mempersoalkan kewajaran Pas membenarkan Umno-BN mengambil alih untuk membentangkan RUU 355 di Dewan Rakyat.

"Ramai rakyat yang menaruh harapan tinggi, hairan mengapa PAS yang berpeluang membentang dan terus membahas RUU 355 memilih untuk menanguhnya 2 kali dan sekarang mereka membenarkan pula Umno-BN mengambil alih?

"Adakah ianya mengambarkan tidak sedianya PAS atau mereka telah berpakat dengan Umnodari awal lagi? Kemungkinan adanya perancangan bersama boleh di asaskan pada kenyataan Datuk Seri Jamil Khir Bahrom kepada pelajar-pelajar Malaysia beberapa bulan lepas bahawa satu cara mengelak mendapat persetujuan Raja-Raja Melayu adalah dengan membawa RUU 355 melalui Usul Persendirian dan bukan kerajaan yang membawanya.

"Kalau itulah situasi sebenarnya, PAS telah membenarkan dirinya di pergunakan oleh Umno dan sekarang mungkin di perdayakan pula kerana tidak mengetahui apa yang Umno akan bentang kali ini.

"Inilah di antara isu-isu penyokong dan ahli-ahli PAS perlu renungi kerana Presiden PAS sendiri sekarang telah mohon dari Umno "mahu lihat draf RUU 355... sebelum BN bentang di Parlimen," ujarnya yang percaya ramai ahli-ahli dan penyokong PAS yang komited ingin mengetahui kedudukan isu RUU 355 dan situasinya yang sebenar di antara PAS dan Umno ini.

Ini kerana Pas tidak mempunyai halangan untuk bekerjasama dan memberi laluan kepada kerajaan BN membentangkan rang undang-undang meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 di sidang Parlimen kali ini.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel