Khuatir Zakir Naik jadi bahan eksploitasi Umno

Dr Zakir NaikDr Zakir Naik

Pendakwah dari India, Dr Zakir Naik tidak mustahil dieksploitasi Umno menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dakwa seorang ahli akademik.

Dr A Zachary S berkata, hal tersebut dapat dilihat pada kenyataan Zakir yang menyentuh isu perpaduan ummah Umno-Pas.

"Jelas menunjukkan 'permainan' Umno yang melihat Dr Zakir sebagai satu aset baru yang boleh dipergunakan. Dr Zakir terhutang budi dengan jasa kerajaan Malaysia yang memberi pelbagai penghargaan kepadanya.

"Seolah-olah dia juga diberi perlindungan oleh pemerintah di sini," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau yakin desakan banyak pihak ke atas pendakwah kontroversi itu tidak akan dipedulikan kerajaan.

"Saya percaya kerajaan Malaysia akan terus melengahkan permintaan antarabangsa dan bantahan bukan Islam di negara ini dengan memastikan Dr Zakir akan terus dalam perlindungan Malaysia.

"Tindakan kerajaan ini dilihat sebagai 'wira' kerana  membela seorang tokoh pendakwah Islam yang dikagumi sedunia," tegasnya.

Zakir diakui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memperoleh status penduduk tetap sejak 2012 iaitu sebelum beliau memegang portfolio tersebut.

Walau bagaimanapun, Hindustan Times di India pada November tahun lalu mendedahkan Zakir yang dikenali sebagai pemidato dengan memetik rujukan demi rujukan nas-nas al-Quran dan kitab-kitab agama lain itu telah diberi kerakyatan Malaysia.

Mengulas lanjut, Dr A Zachary berpendapat pada masa sama pihak BN akan melemparkan tuduhan buruk terhadap pihak yang menentang penceramah dari Mumbai itu.

"Ini termasuk DAP atau mana-mana pemimpin PH (Pakatan Harapan) yang dilihat bersama dengan bukan Islam akan diperlihatkan oleh propagandis pro BN sebagai 'musuh Islam' yang perlu ditolak," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan supaya pemimpin Pakatan Harapan berhati-hati dengan isu status penduduk tetap dimiliki Zakir.

"PH tak perlu terlebih sudu dari kuah. Biar Umno selesaikan isu ini sebab mereka yang beri (status) PR (penduduk tetap) kepada Dr Zakir.

"Pemimpin-pemimpin Islam dalam PH berbincang dengan DAP supaya lebih bersederhana dan profesional dalam desakan mereka, ibarat menarik rambut di dalam tepung. Rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.

"PH jangan menambah rencah dan rempah sebab isu ini tak ada kena-mengena dengan PH. Ini isu yang berpalit di leher Umno dan memakan diri Umno-BN," tegasnya.

Menurutnya, pendedahan Zahid selaku Naib Presiden yang menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden Umno tentang status penduduk tetap yang diperoleh Zakir sejak lima tahun lalu itu ibarat 'peluru berpandu' yang dituju kepada Najib dan sepupunya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

"Sudah ada tanda-tanda keretakan antara Zahid dengan Hishammuddin dan Najib," tambah Dr A Zachary lagi.

Sejak tahun lalu, Zakir yang datang daripada keluarga ternama di Mumbai itu menyarankan Umno dan Pas supaya bekerjasama berlandaskan al-Quran dan hadis membentuk komuniti Islam yang berkali ganda besar berbanding bukan Islam.

Baru-baru ini, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, M Kulasegaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat mendesak kerajaan menjelaskan kriteria yang diguna untuk memberikan Zakir status penduduk tetap termasuk sejauh mana kemampuan pencemarah itu berbahasa Melayu dan tempoh berada di negara ini.

Zakir yang berada di tangga ke-70 dalam senarai 500 Orang Muslim Paling Berpengaruh di Dunia sejak tahun 2011 itu mampu menyebut rujukan kitab agama lain dengan lancar seperti Bible, Upanishad, Puranas, Vedas, Manusmriti, Tipitaka dan Grant Guru Sahib.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel