Perbezaan nilai urus niaga Bandar Malaysia hangatkan 1MDB

Pangkalan Tentera Udara Malaysia Sungai Besi

Perbezaan nilai urusniaga melibatkan penjualan Bandar Malaysia oleh 1MDB kepada konsortium membabitkan syarikat milik Kerajaan China mencetuskan pelbagai persoalan dan menambahkan lagi misteri yang menyelubungi syarikat kedua pelaburan negara itu.

Pangkalan Tentera Udara Malaysia Sungai Besi

Perbezaan nilai urusniaga melibatkan penjualan Bandar Malaysia oleh 1MDB kepada konsortium membabitkan syarikat milik Kerajaan China mencetuskan pelbagai persoalan dan menambahkan lagi misteri yang menyelubungi syarikat kedua pelaburan negara itu.

Setelah imejnya tercalar dengan pelbagai urus niaga yang meragukan dan kemampuannya untuk membayar kembali bebanan hutang berjumlah lebih RM42 bilion, 1MDB kini berhadapan masalah baru apabila nilai jualan tanah Bandar Malaysia, salah satu tanah berharga dimiliki syarikat itu di Kuala Lumpur mencatatkan perbezaan RM2.13 bilion lebih rendah berbanding nilai yang difailkan di Bursa Hong Kong oleh China Railway Group Limited iaitu syarikat induk kepada China Railway Engineering Corp.

Perkara ini pertama kali dibangkitkan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang juga ahli Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) Dewan Rakyat.

Presiden/CEO 1MDB, Arulkanda Abdullah dalam penjelasannya yang disiarkan media semalam berkata, perbezaan sebanyak RM2.13 bilion itu melibatkan beberapa liabiliti dan kos pemindahan kemudahan sedia ada yang perlu dirundingkan oleh 1MDB dan konsortium pembeli yang dianggotai syarikat milik Kerajaan China.

Rundingan itu, kata Arulkanda akan dimuktamadkan menjelang Jun 2016.

Rafizi RamliPengakuan Arulkanda itu bagaimanapun tudak dapat diterima Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

"Saya pasti ramai rakyat Malaysia yang tidak memahami betapa mengejutkan pengesahan yang dibuat oleh Arulkanda Abdullah hari ini (semalam)," ujar beliau.

Menurut Rafizi, tanah Bandar Malaysia yang dianugerahkan kepada 1MDB oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib Razak itu menempatkan Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi.

Jelas beliau, 1MDB bersetuju untuk memindahkan kemudahan Kem TUDM itu serta menaiktarafkan enam pangkalan TUDM yang lain dan satu kem polis udara sebagai pertukaran bagi mendapatkan tanah tersebut.

"Saya dimaklumkan kem-kem tersebut antara lainnya ialah Kem TUDM Kuantan, Kem TUDM Gong Kedak, Kem TUDM Senawang, Kem TUDM Butterworth dan Kem Polis Udara Ipoh.

"Arulkanda Abdullah hari ini mengesahkan bahawa perbezaan RM2.13 bilion (iaitu nilai urusniaga yang diumumkan adalah RM2.13 bilion lebih tinggi dari apa yang difailkan oleh China Railway Group Limited) untuk mengambil kira kos-kos pemindahan dan kemudahan sedia ada di tanah tersebut.

"Ini bermakna liabiliti 1MDB untuk memindahkan kemudahan sedia ada di Kem TUDM Sungai Besi belum disempurnakan oleh 1MDB," tegas Ahli Parlimen Pandan itu.

Menurut Rafizi, apabila pegangan saham di dalam projek pembangunan Bandar Malaysia dijual kepada konsortium yang dianggotai oleh syarikat milik Kerajaan China itu, kemungkinan besar liabiliti untuk memindahkan kemudahan sedia ada di Kem TUDM turut ditanggung konsortium terbabit.

Situasi ini, ujarnya akan memberi implikasi besar kepada kedaulatan dan pertahanan negara kerana membabitkan persoalan sama ada konsortium dianggotai syarikat milik Kerajaan China itu terlibat di dalam keputusan-keputusan pemindahan kemudahan ketenteraan TUDM.

Beliau turut mempersoalkan sama ada konsortium itu berhak membuat keputusan mengenai kos membabitkan pemindahan tersebut dan jika konsortium itu enggan membayar jumlah RM2.13 bilion itu, adakah ia akan menjejaskan proses pemindahan.

"Hakikat bahawa syarikat China Railway Group Limited telah memfailkan nilai urusniaga yang lebih rendah sebanyak RM2.13 bilion bermakna ia telah pun memasukkan liabiliti kos pemindahan kemudahan sedia ada yang dirujuk oleh Arulkanda Abdullah.

"Justeru, saya menyeru supaya Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri memberi penjelasan kepada soalan-soalan di atas secepat mungkin kerana tidak ada mana-mana negara berdaulat yang wajar melibatkan syarikat yang dimiliki negara lain di dalam apa-apa keputusan yang membabitkan kelengkapan dan kemudahan ketenteraannya, terutamanya memandangkan Kem TUDM Sungai Besi adalah salah satu kem tentera udara paling penting di negara ini," tegas Setiausaha Agung PKR itu.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: