Lelaki ditahan ugut Mufti Perlis

Datuk Dr Mohd Asri Zainul AbidinSeorang lelaki ditahan polis selepas melakukan ugutan melalui Facebook terhadap Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, semalam.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata suspek berusia 40-an itu ditahan awal pagi semalam susulan laporan polis yang dibuat sendiri oleh mufti berkenaan, pagi kelmarin. "Kita menerima laporan yang dibuat oleh pengadu (Mohd Asri) pada jam 11.20 pagi, Sabtu lalu di Balai Polis Kangar, yang mendakwa menerima ugutan melalui Facebook.

"Suspek yang berasal dari Kedah ditahan awal pagi semalam dan ditahan reman selama tiga hari sejak semalam hingga esok," katanya ketika dihubungi, hari ini. Wari ketika diminta mengulas lanjut jenis ugutan, lokasi dan masa tangkapan suspek, bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Jenis ugutan yang dilakukan tidak boleh didedahkan, malah lokasi di mana dan bila waktunya suspek ditangkap juga tidak dapat dedahkan buat masa ini kerana tidak mahu mengganggu proses siasatan. "Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah," katanya seperti dilapor BH online hari ini.

Sementara itu, usaha BH untuk mendapatkan komen Dr Mohd Asri berhubung penahanan suspek juga gagal apabila panggilan telefon dan mesej yang dihantar kepada mufti berkenaan tidak dibalas. Difahamkan, ugutan yang dilakukan lelaki berkenaan susulan tindakan Mufti Perlis menyatakan sokongan terhadap pendakwah terkenal dari India, Dr Zakir Naik.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel