PH Parit Sulong rangka kerjasama hadapi PRU14

Pakatan Harapan Parit Sulong membuat resolusi bersama dalam menjayakan misi dan visi gerak kerja Pakatan Harapan dalam menangani sebarang situasi menghadapi PRU14Pakatan Harapan Parit Sulong membuat resolusi bersama dalam menjayakan misi dan visi gerak kerja Pakatan Harapan dalam menangani sebarang situasi menghadapi PRU14

Pakatan Harapan Parit Sulong merangka suatu kerjasama dalam menghadapi Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) pada konvensyen mereka hari ini. 

Konvensyen yang membariskan seluruh kepimpinan Pakatan Harapan kawasan itu membuat resolusi bersama dalam menjayakan misi dan visi gerak kerja Pakatan Harapan dalam menangani sebarang situasi menghadapi PRU14.

Mengulas lanjut berkenaan konvensyen tersebut, Setiausahan Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Johor Ir. Khairuddin A. Rahim menjelaskan, parti Amanah akan bersama-sama dengan parti-parti komponen yang lain untuk mengembleng tenaga bagi menghadapi PRU akan datang.

Selain itu, Khairuddin berkata, Pakatan Harapan Parit Sulong akan dijadikan satu pasukan yang akan bergabung dalam menyokong sesiapa sahaja calon yang akan diletakkan di setiap Dun dan Parlimen yang akan ditandingi.

“Kita Parti Amanah Negeri Johor terutamanya Amanah Parit Sulong akan mengembleng tenaga bersama-sama parti-parti komponen yang lain bagi menghadapi PRU yang akan datang dan kami akan menyiapkan jentera bagi menghadapinya.

“Dalam konvensyen ini, kami semua bersepakat akan mewujudkan atau mengadakan gerak kerja sebagai suatu pasukan dan pasukan ini akan menyokong siapa sahaja calon yang akan diletakkan di Dun dan Parlimen yang akan ditandingi,” Khairuddin ketika ditemui di konvensyen di Garden Hotel Batu Pahat.

Mengulas lanjut mengenai resolusi yang diputuskan, Pengerusi Amanah Parit Sulong itu juga telah menyatakan bahawa selain resolusi pengemblengan tenaga turut digariskan beberapa resolusi lain seperti mewujudkan tawaran kepada pengundi dengan tema 'Bersama Denyut Nadi Rakyat'.

Khairuddin menyatakan lagi, konvensyen berkenaan sebulat suara menggariskan tujuh isu rakyat yang telah dibentangkan semasa konvensyen itu sebagai keutamaan gerak kerja berpasukan yang akan diadakan untuk mendepani masalah rakyat di kawasan itu.

“Selain resolusi untuk mengembleng tenaga bersama sebagai satu pasukan, konvensyen ini juga turut mengadakan resolusi lain seperti mewujudkan tawaran kepada pengundi dengan membawa tema 'Bersama Denyut Nadi Rakyat' sebagai asas pergerakan kita.

“Kita juga telah menggariskan beberapa keutamaan dalam mengadakan gerak kerja bersama dan setelah dibentangkan terdapat tujuh isu rakyat yang perlu kita depani dan masalah ini adalah berkaitan dengan rakyat setempat,” katanya.

Tujuh isu rakyat yang dimaksudkan adalah, alam sekitar terutamanya isu berkaitan Bukit Payung, pendidikan, kos sara hidup, pengurusan air, perumahan, pengangkutan serta perbankan dan warga asing serta masalah sosial.

Konvensyen itu dirasmikan oleh Timbalan Presiden Parti Amanah Negara Salahuddin Ayub dan dihadiri oleh Adun Yong Peng dari DAP Chew Peck Chew, Setiausaha PKR Johor Mohd Khuzzan abu Bakar, Ketua PPBM Bahagian Parit Sulong, Omar Salleh dan Ketua Wanita Muda Amanah Nasional (WARDA) Anis Afida Mohd Azli.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel