Penerima anugerah khas kemanusiaan hargai kepedulian Amanah

Sharan ditemani suami Malkit Singh bergambar dengan pimpinan Amanah selepas menerima anugerah khas kemanusiaan daripada Presiden Mohamad Sabu dalam majlis minum petang di Shah Alam SemalamSharan ditemani suami Malkit Singh bergambar dengan pimpinan Amanah selepas menerima anugerah khas kemanusiaan daripada Presiden Mohamad Sabu dalam majlis minum petang di Shah Alam Semalam

Penerima Anugerah Khas Kemanusiaan, Gursharan Kaur teruja terhadap penghargaan yang diberikan Amanah Selangor atas sumbangannya.

Sharan menerima anugerah tersebut atas usahanya menyelamatkan seorang penumpang dalam pesawat yang dinaikinya dari Jakarta ke Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau menerima anugerah tersebut yang disampaikan Presiden Amanah Mohamad Sabu dalam majlis minum petang di Shah Alam, semalam.

Sharan yang ditemani suaminya, Malkit Singh menceritakan pengalamannya membantu penumpang yang mengadu sesak nafas dan kemudian pengsan dalam penerbangan tersebut.

"Krew kabin membuat pengumuman bertanya sekiranya ada doktor di kalangan para penumpang. Memandangkan tiada doktor yang tampil, saya tampil menawarkan diri," katanya ketika ditemui Media Oren selepas menerima augerah tersebut.

Sharan merupakan jururawat terlatih yang pernah bertugas di wad kardiologi di sebuah hospital di Malaysia sebelum menjadi pengurus perniagaan bagi sebuah syarikat pembekal produk kegunaan hospital.

Berbekalkan ilmu, pengalaman, dan kemahiran yang dimilikinya, Sharan berjaya memulihkan semula pernafasan penumpang tersebut yang kemudiannya dibawa terus untuk mendapat rawatan di hospital setelah pesawat mendarat.

Menurut Sharan, beliau membantu atas dasar kemanusiaan walaupun tidak mengenali penumpang yang dibantunya, apa bangsa dan agamanya, dan dari negara mana dia berasal.
Baginya, beliau sekadar menjalankan kewajipan sebagai seorang manusia membantu manusia lain yang memerlukan.

Sharan dan suaminya ialah ahli Amanah kawasan Petaling jaya Utara.

Beliau tertarik dengan perjuangan Amanah yang berusaha menyebarkan rahmat untuk semua tanpa ada unsur kebencian dan permusuhan sesama rakyat negara ini.

Sharan percaya, setiap rakyat mesti berusaha hidup secara harmoni dan tolong menolong tanpa mengira bangsa dan anutan agama masing-masing.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel