Pemimpin Pas manusia bukan malaikat, kata Zolkarnain

Zolkharnain Abidin Zolkharnain Abidin

Pengarah Hal Ehwal Syariah Amanah, Ustaz Zolkharnain Abidin tampil membetulkan salah faham yang menganggap Pas seolah-olah agama manakala pemimpin parti itu seperti Nabi.

Menurutnya, Mursyidul Am Pas juga bukan Amirul Mukminin memandangkan Pas adalah sebuah parti politik manakala berhijrah dari parti itu bukanlah keluar daripada Islam.

"Pemimpin Pas manusia, bukan malaikat. Mereka ada mulut, perut, kemaluan dan kemahuan duniawi macam orang lain juga.

"Jika ulama Pas terima RM90 juta daripada Najib, apa yang peliknya? Mereka manusia, kan? Oh ya, Pas nak terima duit daripada siapa pun terpulang, itu haknya," kata beliau.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan tahaluf siyasi atau kerjasama politik antara Pas dan Umno tidak harus dihalang bahkan wajar disegerakan.

"Hak demokrasi Pas dalam hal ini tak wajar disekat apatah lagi dicabuli. Banyak dalil yang boleh Pas kemukakan untuk mentabrirkan kerjasama politik dengan Umno, sebuah parti yang pernah diasabiahkan, disekularkan bahkan dikafirkan oleh Pas.

"Sesiapa pun tiada hak untuk campur tangan dalam keputusan Pas itu. Bahkan sepatutnya, tahaluf itu wajar disegerakan pemuktamadannya secara berdokumentasi supaya rakyat lebih mudah menentukan pendirian politik mereka terhadap Pas," ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin semalam tentang kesediaan parti itu bertahaluf siyasi bukan sahaja dengan Umno bahkan termasuk Parti Cinta Malaysia (PCM).

"Jika Pas nak bertahaluf siyasi dengan Umno, silakan dan teruskan. Kami akan beritahu rakyat, Pas bertahaluf siyasi dengan Umno.

"Itu juga hak kami. Tiada siapa yang batal syahadah, tiada siapa batal aqidah, tiada siapa yang jadi munafiq hanya kerana berbeza wadah politik," tegasnya dipetik daripada kenyataan beliau di Facebook.

Menurut Zolkharnain, terpulang kepada Pas untuk bekerjasama siapa sekalipun tetapi pada masa sama parti itu juga perlu menghormati keputusan pihak lain.

"Jika Pas boleh bertahaluf siyasi dgn Umno, mengapa pula Amanah tidak boleh bertahaluf siyasi dengan DAP? Jika Pas boleh putus hubungan dengan Keadilan, apa salahnya Amanah putus hubungan dengan Pas? Bukankah kita semua sedang berpolitik?" soalnya.

Beliau juga mengingatkan Pas tidak harus melenting jika pihak lain memberi label negatif terhadap parti tersebut seperti yang dilakukan Pas terhadap DAP dan PKR.

"DAP anti agama, itu kata Pas. PKR khianat Islam, itu juga kata Pas. Kenapa Pas tidak anggap Umno anti agama dan khianati Islam? Oh, saya ulang, itu juga hak Pas utk labelkan sesiapa saja anti agama atau khianati Islam.

"Maka, jika ada orang kata, Pas juga anti agama dan khianat Islam, Pas janganlah marah. Bukankah kita semua sedang berpolitik?" bidas Zolkharnain.

Hal yang sama juga, ujarnya, boleh dilabel oleh pihak Amanah terhadap Pas yang sebelum ini menuduh pemimpin dan ahli parti Islam generasi kedua itu sebagai pengkhianat.

"Oh, Amanah khianat sebab keluar Pas. Kami pula katakan, Pas khianat sebab keluar PR (Pakatan Rakyat). Oh, Amanah larikan kerusi. Kami katakan, buat apa tunggu lagi di kerusi Exco Selangor?

"Mahu kerusi? Oh, larikan kerusi makan gaji haram. Kami juga boleh kata, makan gaji haram juga Exco Selangor? Mengapa apabila Pas buat halal, orang lain buat haram? Bukankah kita semua sedang berpolitik?" hujahnya lagi.

Mengulas kedudukan Hashim, beliau menganggap pemimpin Pas berkenaan sebagai agamawan politik yang tidak berpendirian tetap.

"Suatu masa dulu, dia begitu anti Umno sehingga papan tanda ajak orang solat jamaah yang dipasang oleh syarikat yang ada kaitan dengan Umno pun dihentamnya.

"Tapi kini, dia sudah begitu lunak dengan Umno bahkan dengan ketua Umno Perlis juga sudah semakin mesra. Oh, saya ulang lagi, itu hak demokrasi Pas bukan? Silakan saja," tempelaknya.

Zolkharnain berkata, tindakan Pas bersekongkol dengan pemimpin kleptokrat Umno yang menggelapkan duit negara sekaligus merestui kezaliman Umno tidak boleh dibiarkan.

"Amanah tampil lawan Pas dalam hal ini iaitu Pas beri oksigen kepada Umno. Eh, biarlah Pas nak beri oksigen kepada Umno, itu hak Pas.

"Maka, begitulah Amanah nak lawan Pas dalam pilihan raya. Biarlah. Ini juga hak demokrasi Amanah. Kita semua bukankah sedang berpolitik?

"Wahai Mursyid Am Pas, bukankah kita sedang berpolitik? Maka, usahlah 'Lakum dinukum waliya din'kan orang yang keluar Pas. Tak gitu tuan guru?" tambahnya lagi.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel