Melayu perlu faham GST akibat banyak penyelewengan

Faiz Fadzil Faiz Fadzil Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil mengingatkan masyarakat Melayu bahawa pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sejak 1 April 2015 berpunca daripada wujudnya banyak penyelewengan.

Menurutnya, kadar cukai enam peratus itu dikuatkuasakan juga lantaran kerajaan mahu menampung hutang yang menimbun walaupun banyak kaedah lain boleh dilakukan bagi mencari sumber wang.

"Penting untuk orang Melayu ambil iktibar bagaimana Imam Nawawi membantah cadangan pemerintah ketika itu yang mahu mengenakan cukai untuk diguna sebagai sumber kewangan bagi tujuan perang.

"Imam Nawawi kata kalau kerajaan masih ada sumber lain maka salah untuk kerajaan kenakan cukai kepada rakyat.

"Berdepan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini, orang Melayu perlu faham cukai GST ini diambil ke atas rakyat sedangkan banyak sumber lain yang boleh diguna.

"Kerajaan memang tidak ada wang untuk menampung hutang yang cukup banyak akibat penyelewengan," tegasnya dalam Forum Hutang 1MDB: Rakyat Yang Kena Bayar? di Petaling Jaya malam tadi.

Beliau berkata, hasil kutipan GST di negara ini tidak dikembalikan manfaatnya kepada rakyat berbeza dengan apa yang berlaku di luar negara.

"Kita keluar rumah sudah dikenakan GST, tol dan sebagainya. Kereta pun ada cukai. Kita pergi ke hospital kena caj. Isi minyak kena tanggung kos yang tinggi sebab kerajaan potong subsidi.

"Tidak seperti di luar negara, walaupun ada GST tetapi dapat banyak servis baik dikembalikan kepada rakyat," jelasnya.

Untuk rekod, kutipan GST oleh kerajaan pada 2016 mencecah RM41.2 bilion iaitu melebihi sasaran RM39 bilion manakala bagi tahun ini Jabatan Kastam Diraja Malaysia menyasarkan sehingga RM42 bilion.

Sehubungan itu, Faiz menegaskan manifesto Pakatan Harapan bagi PRU14 nanti antara lain memansuhkan GST yang memangsakan rakyat berpendapatan rendah itu.

"Orang Melayu di kawasan luar bandar mesti ambil tahu isu ini sebagai isu paling mustahak. Pakatan Harapan sudah mengeluarkan pendirian dan dalam manifesto pilihan raya akan datang akan memansuhkan GST," ujarnya lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dalam forum sama menekankan rejim cukai oleh kerajaan yang tidak adil apabila golongan kaya tidak dikenakan kadar cukai yang sewajarnya.

"Orang miskin dari segi peratusannya menanggung beban tinggi akibat GST sedangkan (rakyat) yang tidak layak bayar cukai pendapatan pun antara 70 hingga 80 peratus.

"Tapi pada masa sama, (kerajaan) nak turunkan cukai pendapatan lagi. Yang layak diturunkan kadar cukai, yang tak layak kena cukai. Ini dasar tak adil.

"Patutnya tambahkan cukai kepada yang kaya. Cukai keuntungan ke atas pelaburan satu sen cukai pun tidak payah bayar.

"Amerika, UK, Eropah buat (cukai keuntungan ke atas pelaburan), mengapa tidak ikut mereka? Tapi GST nak ikut pula?" bidas Setiausaha Publisiti DAP itu.

Turut menjadi panel forum anjuran Reform Demokrat di Dewan Gerak Budaya itu adalah Datuk Ezam Mohd Nor dari Parti Bebas Rasuah.

 

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel