Exco Selangor: Pas perlu faham perlembagaan sebelum heret sultan

Dr Zulqarnain Luqman

Pas seharusnya memahami kedudukan parti itu dalam Kerajaan Negeri Selangor menurut perlembagaan, sebelum mengheret sultan ke dalam kecelaruan yang timbul selepas parti itu menamatkan kerjasama politik dengan PKR.

Dr Zulqarnain Luqman

Pas seharusnya memahami kedudukan parti itu dalam Kerajaan Negeri Selangor menurut perlembagaan, sebelum mengheret sultan ke dalam kecelaruan yang timbul selepas parti itu menamatkan kerjasama politik dengan PKR.

Peguam dari Parti Amanah Negara (Amanah) Dr Zulqarnain Luqman berkata, pemahaman terhadap prinsip perlembagaan itu adalah cerminan sama ada Pas bersedia atau tidak untuk menjadi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man semalam bahawa tiada sebarang arahan untuk melepaskan jawatan exco kerajaan negeri kepada tiga anggotanya, malah segala keputusan sama ada mengekalkan khidmat mereka bergantung penuh kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Keanehan dalam kenyataan media itu adalah bagaimana Timbalan Presiden Pas itu cuba berselindung di sebalik Sultan Selangor dan tidak menggunapakai prinsip perlembagaan.

"Dalam konteks perlembagaan, sultan akan bertindak mengikut nasihat menteri besar khasnya mengenai pelantikan atau pemecatan seorang exco. Ini bermakna keputusan untuk mengekalkan ketiga-tiga exco Pas itu bukan atas dasar kehendak sultan tetapi kehendak menteri besar.

"Kenyataan media timbalan presiden itu lebih kepada untuk menjawab tanda tanya orang ramai kenapakah ketiga-tiga exco Pas itu tidak mahu meletakkan jawatan padahal mereka sudah membatalkan hubungan dengan PKR," katanya.

Mengulas lanjut, Zulqarnain berkata, adalah lebih baik jika Tuan Ibrahim menyatakan bahawa ketiga-tiga exco itu masih mengekalkan jawatan kerana mereka masih mendukung prinsip ‘collective responsibility’ dan segala dasar kerajaan negeri meskipun hubungan politik telah dibatalkan.

Beliau menjelaskan, mengikut prinsip perlembagaan, seorang menteri besar itu akan dilantik jika beliau mendapat kepercayaan daripada majoriti ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Dun).

Selepas itu, menteri besar akan melantik exco-exco yang akan menjadi barisan kabinetnya.

"Antara prinsip yang penting berkaitan jawatan exco ini adalah prinsip ‘collective responsibitliy’ (tanggungjawab bersama) atas segala dasar yang dibuat oleh menteri besar. Seseorang exco tidak boleh bertindak bercanggah dengan ketetapan yang dibuat oleh menteri besar dalam isu-isu berkaitan pemerintahan negeri tersebut," jelasnya.

Menurut beliau, dalam hal ini, menteri besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memilih untuk mengekalkan exco-exco Pas yang ada yang bergantung kepada budi-bicara seorang menteri besar.

"Sekiranya menteri besar itu berpendapat bahawa tindakan exco-exco itu tidak bercanggah dengan ketetapan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri maka exco-exco itu masih boleh kekal dalam kabinet beliau.

"Sehingga kini, masih belum ada apa-apa tindakan exco-exco itu yang dilihat bercanggah dengan polisi kerajaan negeri sehingga menimbulkan keaiban kepada menteri besar.
"Sedikit kejanggalan adalah wujud perbezaan fahaman politik antara mereka. Mungkin model kerajaan Selangor ini adalah gambaran awal bagaimana sebuah kerajaan campuran antara pelbagai parti yang berbeza pandangan politik boleh dibentuk selepas PRU14 nanti," katanya.

Justeru, kata beliau, bagi seorang ahli politik yang memegang jawatan tinggi sebagai timbalan presiden Pas, Tuan Ibrahim seharusnya lebih faham bahasa undang-undang dan perlembagaan.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel