Pakatan Harapan belum lagi muktamadkan pembahagian kerusi di Johor

Pembahagian kerusi pilihan raya di Johor bagi Pilihan Raya Umum akan datang dalam kalangan parti yang menganggotai Pakatan Harapan masih belum dimuktamadkan walaupun terdapat perbincangan mengenainya  kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kita hanya bincang secara prinsip, namun, sedang dilakukan diperingkat pusat. Cuma diperingkat Johor kita akan menyampaikan beberapa perkara dan bagaimana pembahagian kerusi Johor akan dapat diterus. Proses rundingan kerusi sudah bermula mungkin dua atau tiga bulan lagi ke hadapan. Tiada keputusan dibuat kerana urusan berkenaan sedang dibuat di peringkat pusat," katanya dalam sidang media yang diadakan  selepas menghadiri mesyuarat khas antara pimpinan Pakatan Harapan Johor semalam.

Turut hadir, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Salahuddin Ayub, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan dan Pengerusi PKR Johor Hassan Abdul Karim.

Muhyiddin berkata menerusi mesyuarat itu juga, Pakatan Harapan Johor bersetuju menubuhkan Majlis Pengerusi-Pengerusi Pakatan Harapan Johor yang dianggotai pengerusi keempat-empat parti berkenaan sekali gus berperanan membincangkan strategi dan program yang akan diatur bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Kita akan mengatur strategi tersusun dan rapi supaya dapat menawarkan kepada rakyat Johr sebuah kerajaan yang baik dan bersih dalam agenda membantu rakyat.

"Akan tertubuh Jawatankuasa Dasar dan Tawaran akan ditubuhkan untuk senaraikan secara umum apa yang perlu dilakukan kelak.

"Rakyat Johor kurang percaya BN Johor tidak dapat menyelesaikan masalah mereka," ujarnya.

Berikutan kecenderungan Pas untuk bergerak secara solo dalam pilihan raya umum akan datang, Muhyiddin berkata Pakatan Harapan perlu mengatur strategi menghadapi kemungkinan pertandingan lebih daripada dua atau tiga penjuru.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel