Kubur Mohamad Thaqif digali semula

Kubur pelajar tahfiz yang meninggal dunia bulan lalu, Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi, digali semula semalam disaksikan ahli keluarga, polis dan perwakilan mahkamah, lapor Berita Harian.

Kerja pengalian itu dilakukan bagi membolehkan sampel kaki Thaqif diambil untuk tujuan siasatan.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Ashmon Bajah dipetik berkata, proses gali semula di Tanah Perkuburan Islam Felda di Bukit Aping dilakukan mengikut Seksyen 335, Kanun Acara Jenayah bagi tujuan siasatan lanjut kes Thaqif.

Kes membabitkan pelajar tahfiz itu mengejutkan rakyat Malaysia selepas kedua-dua kakinya terpaksa dipotong, sebelum meninggal dunia.

Thaqif, 11, merupakan pelajar Madrasah Tahfiz Al-Jauhar (MTAJ) di Kota Tinggi telah meninggal dunia pada 27 April di Hospital Sultan Ismail Johor Bahru kerana mengalami pembekuan darah, beberapa hari selepas doktor terpaksa menjalankan pembedahan memotong kakinya kerana jangkitan bakteria.

Sebelum itu, ibu Thaqif membuat laporan polis mendakwa anaknya dirotan di tapak kaki dengan paip getah sehingga menyebabkan kecederaan.

Susulan itu, polis menahan seorang pembantu warden asrama untuk siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2010, sebelum siasatan diubah kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas tuduhan membunuh.

Bagaimanapun, pembantu warden berusia 29 tahun itu dibebaskan pada 3 Mei dengan jaminan bon.

Semalam, FMT jugss melaporkan Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (Pinta) mempersoalkan kelewatan pihak berkuasa mengumumkan laporan perubatan Thaqif.

“Yang menjadi musykil, apa sebenarnya punca Thaqif meninggal, tidak ada laporan daripada pihak perubatan. Kami tidak mendapat maklum sehingga hari ini,” kata Presiden Pinta Mohd Zahid Mahmood seperti dilaporkan.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: