Tidak cukup dengan permohonan maaf, tindakan tegas perlu diambil

Nasruddin Star

Kerajaan disarankan agar lebih serius dalam menangani pihak tidak bertanggungjawab menghina agama Islam dan melakukan provokasi terhadap orang Islam di negara ini, tidak cukup dengan hanya permohonan maaf, kata Ketua Penerangan Pas Nasruddin Hassan.

Nasruddin Hassan

Kerajaan disarankan agar lebih serius dalam menangani pihak tidak bertanggungjawab menghina agama Islam dan melakukan provokasi terhadap orang Islam di negara ini, tidak cukup dengan hanya permohonan maaf, kata Ketua Penerangan Pas Nasruddin Hassan.

Beliau berkata sekiranya kerajaan mengambil tindakan tidak serius perkara sama akan kembali berulang.

"Persoalannya kenapa mereka makin berani ? Sama ada mereka semakin angkuh dengan sokongan ekonomi dan politik yang mereka perolehi atau ummat Islam semakin lemah kerana berpecah sesama sendiri.

"Namun kami yakin dan percaya, sikap berani mereka yang melebihi had dalam mempersenda ummat Islam ini akan memerangkap diri mereka sendiri," ujarnya dalam kenyataan di laman facebook beliau hari ini.

Kata Nasruddin lagi tidak memadai akhbar itu hanya memohon maaf setelah menyiarkan gambar sedemikian di muka depan akhbar tersebut.

"Tidak memadai dengan hanya memohon maaf setelah menyiarkan gambar sedemikian rupa yang cuba mengaitkan ummat Islam dengan keganasan. Ini bukan kali pertama perlecehan agama dan sentimen kaum dilakukan secara terbuka dan berani.

"Sebelum ini Nanyang Siang Pau telah mempersenda Presiden Pas dengan menggunakan karikatur seekor monyet berserban. Telah mencetus kemarahan rakyat Malaysia yang sepatutnya hidup makmur dalam masyarakat berbilang kaum tanpa penghinaan sedemikian rupa.

"The Star gagal mempelajarinya. Masih mengulangi kesilapan serupa. Nampaknya makin berani dan nekad. Permohonan maaf setelah berkali-kali insiden serupa berlaku merupakan satu lagi siri penghinaan.

"Sampai bila kesabaran ummat Islam mahu diuji sedemikian rupa? Kesabaran ummat Islam dicabar terus menerus. Mereka cetus provokasi supaya keamanan dan kemakmuran negara tergugat? Kemudian mereka akan jadikan ummat Islam sekali lagi sebagai kambing hitam?," soalnya.

Justeru beliau juga menyarankan semua pihak supaya berhenti dari melakukan sebarang percubaan untuk menguji kesabaran ummat Islam.
"Jangan terus mencetus provokasi. Kerana provokasi itu tidak selamanya memberi keuntungan kepada mereka.

"Kembalikan keamanan dan keharmonian negara dengan semua pihak khasnya media saling hormat menghormati dan memelihara sensitiviti keagamaan serta perkauman.

"Kami tidak mahu The Star mengambil sikap sama seperti DAP yang anti Islam mengekspkoitasi isu, kerana kami yakin di luar sana ramai non muslim yang tidak bersetuju dengan sikap seperti ini," ujarnya.

Semalam Akhbar The Star memohon maaf atas kesilapan pihaknya memaparkan gambar umat Islam sedang menunaikan solat terawih di bawah tajuk berita berkaitan pengganas di muka depan akhbar itu semalam.

The Star juga mengakui pihaknya seharusnya lebih sensitif terhadap perasaan pembaca beragama Islam.

Bagaimanapun hari ini Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi kenyataan Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Alwi Ibrahim, dipetik berkata pihaknya kecewa dengan akhbar tersebut yang secara sambil lewa memaparkan gambar umat Islam menunaikan solat Tarawih pada malam pertama Ramadan, namun tajuk muka depannya tertulis 'Malaysia Terrorist Leader'.

Beliau berkata akan memanggil Ketua Pengarang akhbar itu untuk mendengarkan penjelasan mereka berhubung penyiaran gambar dan tajuk di muka depannya dijangka pada hari ini.

 

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel