Sebelum cerita TN50 jawab kepincangan ekonomi babit peluang kerja, kos sara hidup

(Dari kiri)  Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mahu Khairy Jamaluddin memberikan jawaban kepada tindakan Datuk Seri Mohd Najib Razak yang didakwa gagal mengatasi masalah pertumbuhan ekonomi  yang terbukti  tidak sampai manfaatnya kepada rakyat.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beliau akan terus "mengacau" menteri belia dan sukan itu untuk mendapatkan jawabannya sebelum Khairy mahu mengadakan jelajah berkaitan Transformasi Nasional 2050 (TN50) di seluruh negara.

"Saya akan terus mengacau Khairy untuk menjawab soalan-soalan ini sebelum beliau sibuk  mahu menjelajah negara menjual mimpi pada tahun 2050.

"Kalau beliau boleh memilih untuk tidak menjawab soalan dari Malaysiakini dengan kasar, beliau tidak boleh terus mendiamkan diri mengelak soalan-soalan saya mengenai isu pekerjaan dan kos sara hidup.

"Saya masih menunggu jawapan daripada Khairy Jamaluddin mengenai peluang untuk berdialog dengan 300 orang pimpinan pembangkang dalam sesi TN50 untuk saya tanyakan soalan yang paling mudah: apa tindakan Datuk Seri Najib sekarang untuk mengatasi masalah pertumbuhan ekonomi yang tidak sampai manfaatnya kepada rakyat?," soalnya dalam kenyataan hari ini.

Rafizi dalam tulisan di blognya, mendakwa rakyat negara ini masih lagi merasai beban sara hidup walaupun pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.6% suku pertama 2017 diumum kerajaan baru-baru ini.

Beliau berkata, rakyat dapat menilai bukan semua pertumbuhan ekonomi negara mampu membawa kebaikan kepada ekonomi rakyat.

"Jika ekonomi Malaysia dikatakan begitu baik seperti angka pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) yang diumumkan, mengapa ramai rakyat yang menghadapi kekangan kewangan dalam menjalani kehidupan seharian.

"Ada yang hasil ekonominya dipusatkan di kalangan beberapa pihak sahaja, ada yang ekonomi berkembang kerana lebih banyak pekerjaan bergaji murah yang diwujudkan.

"Secara mudahnya, pertumbuhan KDNK negara merujuk kepada ukuran bagaimana ekonomi negara menghasilkan lebih banyak barangan dan perkhidmatan. Ini boleh dicapai dengan dua cara – menambah pekerjaan atau menambah produktiviti," ujarnya dalam kenyataannya hari ini.

Rafizi mendakwa di bawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi, pertumbuhan KDNK lebih didorong oleh produktiviti. Walau bagaimana pun, semasa pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib Razak (2011-2015), ujarnya, pertumbuhan yang didorong oleh produktiviti menurun (dari 59.07% kepada 34.80% daripada jumlah pertumbuhan KDNK).

Manakala pertumbuhan yang didorong pertambahan pekerjaan meningkat dengan ketara (daripada 40.93% kepada 65.2% daripada jumlah pertumbuhan KDNK).

"Ini bermakna jika pihak majikan mengambil lebih ramai pekerja, mereka bukannya meningkatkan produktiviti pekerja untuk menghasilkan lebih banyak barangan atau perkhidmatan (seterusnya meningkatkan pertumbuhan KDNK).

"Sebab itu pertumbuhan KDNK yang diumumkan kerajaan perlu diperhalusi untuk menentukan sama ada pertumbuhan itu hanya dipacu oleh lebih banyak pekerja yang dibayar gaji yang murah untuk menambah pekerjaan; atau pertumbuhan itu berpunca dari kerja-kerja yang lebih bernilai tinggi dan dibayar gaji yang lebih tinggi," ujarnya.

Beliau meenerangkan, walaupun saiz ekonomi dilihat semakin meningkat, tetapi ia turut dikongsi bersama lebih ramai orang yang kebanyakannya pekerja asing.

Sebaliknya, ujarnya lagi, jika pertumbuhan KDNK negara ini didorong oleh produktiviti, setiap pekerja akan mendapat imbuhan yang lebih besar kerana jumlah pekerja tidak perlu ditambah dengan mendadak (dengan membawa pekerja asing) dan hasil ekonomi dikongsi dengan lebih adil.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel