Krisis diplomatik Qatar untungkan Israel, tegas IKRAM

Ikram ulas krisis diplomatik Qatar.

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) merayu semua negara yang terlibat dalam krisis diplomatik Qatar agar menyelesaikan segala salah faham di meja perundingan berdasarkan semangat ukhuwah Islamiah demi kepentingan sejagat.

Presidennya Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad menyarankan Malaysia, sebagai sebuah negara yang disegani di kalangan negara-negara Teluk, berusaha menjadi pihak ketiga bagi mendamaikan pertelingkahan ini.

Menurut beliau, keputusan beberapa negara rantau Teluk, Mesir, Maldives, Yaman dan Mauritania untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar telah menimbulkan keresahan di kalangan umat Islam dan masyarakat dunia yang cintakan keamanan.

"IKRAM yakin bahawa pertelingkahan dan perpecahan dalam kalangan umat umumnya dan negara-negara Teluk khasnya hanya menguntungkan musuh-musuh Islam seperti rejim Zionis Israel," ujarnya.

Dr Mohd Parid turut memetik mafhum al-Quran dari ayat 10 surah al-Hujurat:

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat."

Beliau berharap ada jalan penyelesaian terbaik bagi menyelesaikan krisis ini pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel