'Reformasi SPR bermula dengan peletakan jawatan Hashim'

Shazni bebas

Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata SPR akan menjadi benteng terakhir untuk perdana menteri terus berkuasa jika berterusan bersikap dingin terhadap tuntutan proses pilihan raya yang adil dan bersih.

"Pengerusi SPR yang sedari awal merupakan orang politik, sewajarnya tidak layak memegang jawatan tersebut. Reformasi SPR telah menjadi satu kewajipan pada ketika ini.

"Reformasi ini harus bermula dengan peletakan jawatan Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dan melantik seorang pengerusi yang bebas daripada kecenderungan politik pemerintah," ujarnya dalam satu kenyataan susulan pembebasan beliau daripada tahanan reman polis semalam.

Mengulas penahanan yang dikenakan ke atasnya ekoran protes termasuk merantai pagar di ibu pejabat SPR di Putrajaya baru-baru ini, beliau berkata, tindakan itu dilakukan selepas SPR gagal memberi maklum balas sewajarnya.

"Pada ketika pengadil satu-satu perlawanan telah gagal memberikan keadilan kepada pasukan-pasukan yang bertanding, maka protes adalah jalannya selepas ruang diplomasi menemui jalan buntu.

"Rantai pagar itu muncul setelah tiga kali pertemuan sebelum itu gagal menatijahkan hasil yang baik, bahkan Pengerusi SPR tidak muncul pun," ujarnya.

Sehubungan itu, Shazni menyeru seluruh rakyat di negara ini meneliti setiap keputusan dan tindak-tanduk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dari semasa ke semasa.

Menurutnya, peranan tersebut penting dilaksanakan semua warganegara bukan hanya parti-parti politik Pakatan Harapan kerana melibatkan undi sebagai hak paling berharga yang rakyat miliki.

"Hanya dengan undi dan sistem pilihan raya yang adil sahaja, kerajaan kleptokrasi boleh ditumbangkan," tegasnya lagi.

Shazni dibebaskan kira-kira pukul 3.45 petang selepas empat hari dalam tahanan lokap termasuk pada hari tangkapan, 9 Jun lalu.

"Serasanya saya telah berikan kerjasama terbaik kepada seluruh anggota polis yang terlibat. Terima kasih kepada peguam, keluarga serta rakan-rakan yang bersolidariti.

"Tidak lupa juga buat anggota polis yang mengejutkan saya sahur dan memaklumkan masuknya waktu solat, moga kalian diberikan ganjaran pahala sebesar-besarnya," katanya.

Menganggap proses mahkamah yang panjang akan dilalui selepas ini, beliau memohon doa semua pihak supaya iltizamnya dan seluruh anak muda Malaysia yang cintakan perubahan tercapai.

"Biar berputih tulang gerakkan perubahan, asalkan tidak berputih mata menyaksikan negara lebur di tangan pemimpin khianat," tambah Shazni.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel